
Pengeluar motosikal terkemuka dunia, Honda, menjalinkan kerjasama strategik dengan jenama fesyen ikonik Jepun, Onitsuka Tiger, bagi menyatukan dunia mobiliti dan fesyen dalam satu pentas antarabangsa.
Kolaborasi sulung itu diperkenalkan secara rasmi pada Minggu Fesyen Milan 2027 yang berlangsung dari 22 hingga 28 September.
Kerjasama tersebut menyaksikan pelancaran produk pertama mereka, iaitu Onitsuka Tiger Honda Mid Sports Concept yang membuat penampilan sulung dunia pada 23 September lalu, seiring dengan pertunjukan koleksi wanita Musim Bunga/Musim Panas 2027 Onitsuka Tiger.
Motosikal konsep itu dibina berasaskan model sukan bersesaran pertengahan Honda dan tampil dengan identiti visual tersendiri.
Ia disaluti warna kuning ikonik Onitsuka Tiger, Tiger Yellow, dengan jalur hitam tebal merentasi kedua-dua sisi badan jentera.
Reka bentuknya turut diperhalusi dengan roda berwarna hitam yang dihiasi aksen Tiger Yellow, selain integrasi logo kedua-dua jenama.

Ciri paling menarik terletak pada bahagian cowling hadapan yang menampilkan celah lampu utama yang tirus, menyerupai pandangan mata harimau.
Menurut Honda, setiap elemen reka bentuk, termasuk perincian terkecil, diberi perhatian khusus bagi mencerminkan nilai ketukangan dan ketelitian yang menjadi teras kepada kedua-dua syarikat.
Selain motosikal konsep, kolaborasi ini turut merangkumi koleksi kasut dan pakaian eksklusif Onitsuka Tiger yang menampilkan Wing Mark, lambang ikonik Honda.
Koleksi pakaian berkenaan yang diinspirasikan daripada budaya permotoran turut dipamerkan bersama motosikal konsep tersebut di Milan, sekali gus menonjolkan kesamaan visi kedua-dua jenama dalam aspek reka bentuk, ketukangan dan perhatian terhadap perincian.
Kedua-dua jenama yang berasal dari Jepun itu memiliki sejarah panjang melebihi 75 tahun, dengan Honda ditubuhkan pada 1948 dan Onitsuka Tiger pada 1949, serta mempunyai pengaruh global yang kukuh.
Honda dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama ini bertujuan menjadikan budaya motosikal lebih mudah diakses dan dekat dengan khalayak yang lebih luas menerusi gabungan elemen mobiliti, fesyen dan reka bentuk kontemporari.































