
Honda Malaysia rasmi melancarkan City Facelift ke pasaran tempatan menerusi empat pilihan varian. Walaupun menerima penambahbaikan, harga kekal tidak berubah iaitu :
- E : RM89,900
- V : RM94,900
- RS : RM99,900
- e: HEV RS : RM111,900
Dwi-Pilihan Powertrain Berkuasa & Jimat Minyak

Untuk pasaran tempatan, Honda Malaysia masih lagi menawarkan dua pilihan janakuasa :
-
Enjin Petrol 1.5L DOHC VTEC: Bergandingan dengan transmisi CVT, ia menghasilkan kuasa 121PS @ 6,600rpm dan tork 145Nm @ 4,300rpm.
-
Hibrid e:HEV RS: Dikuasakan motor elektrik berprestasi tinggi berkuasa 109PS dan tork 253Nm bersama enjin kitaran Atkinson untuk kecekapan bahan api luar biasa serta transmisi e-CVT.
Reka Bentuk Segar & Lampu LED Penuh
Bagi model facelift 2026 ini, City menggabungkan bar lampu panjang pada hud depan bersama rekaan lampu lebih tajam melengkapkan penggayaan gril yang lebih bergaya.
Manakala bahagian belakang didatangkan dengan lampu albino bagi meningkatkan penggayaan sporty.
Bagi versi RS pula menerima rekaan depan dan belakang baharu manakala bampar depan kini disematkan salur udara untuk penyejukkan brek lebih pantas.
Varian tertinggi RS turut menerima sentuhan eksklusif menerusi rekaan rim aloi 16-inci baharu bergaya turbin dua tona warna Berlina Black dan Dark Clear.
Kabin Lebih Moden, Skrin 10-Inci Lebih Luas
Masuk ke ruang kokpit, pemandu disajikan dengan naik taraf teknologi yang lebih praktikal. Paling mencuri tumpuan adalah kehadiran skrin sentuh infotainmen terapung bersaiz 10-inci menggantikan unit lama.
Ia kini lengkap dengan sokongan paparan kamera 360-darjah multi-sudut yang dinaik taraf.
Selain itu, kabin turut diserikan dengan lampu ambien serta kemasan papan pemuka bertekstur 3D dengan sentuhan garis merah yang memberikan aura mewah dan sporty pada masa yang sama.
Pada bahagian konsol tengah turut menerima naik taraf menerusi unit pengecasan tanpa wayar di samping logo H baharu pada stereng serta rekaan baharu kerusi depan.
Keselamatan Dipertingkat
Aspek keselamatan terus menjadi keutamaan yang mana Honda Malaysia menawarkan pakej bantuan pemanduan komprehensif Honda Sensing pada kesemua varian antaranya sistem brek mitigasi pelanggaran (CMBS), kawalan kruise adaptif (ACC) dengan fungsi Stop & Go, serta bantuan kekal lorong.
Lebih menarik, model facelift ini turut memperkenalkan sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTM), memberikan keyakinan maksimum kepada pemandu ketika menukar lorong atau mengundur.
Waranti
Demi ketenangan minda pemilik, Honda Malaysia menawarkan waranti 8-tahun tanpa had perbatuan buat pemilik Honda City Facelift. Bagi model Honda petrol dan hibrid baharu waranti tersebut tersedia berkuatkuasa 1 September 2026.




















































