Utama Berita Automotif Honda Vezel RS (HR-V) dengan kit Mugen, tampil lebih sporti dan bergaya!

Honda Vezel RS (HR-V) dengan kit Mugen, tampil lebih sporti dan bergaya!

455

Mugen tampil dengan aksesori khas untuk Honda Vezel RS atau dikenali sebagai HR-V di pasaran tempatan dan dipasarkan melalui rangkaian Honda Cars serta pengedar rasmi Mugen di seluruh Jepun.

Dibangunkan berasaskan konsep Urban Sport Style, aksesori Mugen untuk Vezel RS menampilkan pendekatan yang lebih agresif dan berkarakter, selari dengan identiti prestasi jenama tersebut.

Penekanan diberikan kepada gabungan gaya sporti, peningkatan dinamik pemanduan serta praktikaliti untuk kegunaan harian di persekitaran bandar.

Dari segi penampilan luaran, VEZEL RS menerima sentuhan visual yang lebih menyerlah menerusi penggunaan komponen aerodinamik Mugen yang direka dengan bentuk tiga dimensi.

Kit seperti spoiler bawah (front under spoiler), skirt sisi (side garnish) dan spoiler bawah belakang (rear under spoiler) bukan sahaja menambah kehadiran visual yang lebih rendah dan lebar, malah menyerlahkan imej sporti keseluruhan.

Turut diperkenalkan ialah grafik sisi (door side decal) baharu, direka dengan garisan memanjang ke bahagian belakang.

Aspek prestasi dan pengendalian turut diberi perhatian menerusi penawaran beberapa komponen utama.

Antaranya ialah penyenyap ekzos (sports silencer) yang dibangunkan dengan fokus kepada mutu bunyi, mengimbangi kecekapan aliran ekzos dengan tahap peredaman yang sesuai.

Rim aluminium 18 inci CU10 pula menggunakan proses flow-forming setara teknologi tempa, untuk ketegaran tinggi dan berat lebih ringan.

Selain itu, Performance Damper® dari Yamaha yang ditala khusus untuk VEZEL RS turut ditawarkan bagi meningkatkan keselesaan serta kestabilan ketika dipandu.

Bagi melengkapkan pengalaman penggunaan harian, Mugen turut menyediakan pelbagai aksesori praktikal dan kemasan dalaman.

Ini termasuk visor tingkap yang membantu pengudaraan tanpa membenarkan kemasukan angin luar, selain alas kaki (sports mat) dan alas but (sports luggage mat) yang menekankan ketahanan serta fungsi.

Sentuhan dalaman pula diperkemaskan dengan pelapik ambang pintu (scuff plate) baharu yang sepadan dengan hiasan dalaman eksklusif RS.

Aksesori utiliti seperti pelindung pintu (door inner protector) turut ditawarkan bagi melindungi bahagian dalaman daripada kotoran dan calar ketika keluar masuk.

Dengan aksesori yang lengkap, Mugen menawarkan pemilik untuk menyesuaikan kenderaan  Vezel RS dari segi gaya, prestasi dan fungsi sambil mengekalkan identiti serta mutu yang sinonim dengan jenama Mugen.

Walaupun jauh di Jepun, untuk rekod Honda Malaysia pernah menawarkan Honda CR-V dengan kit Mugen.

Mungkin ini boleh dipertimbangkan untuk HR-V yang digemari pelanggan muda.

Senarai Aksesori Mugen Honda Vezel RS dan Harga

  • Front Under Spoiler (RS): ¥99,000 (RM2,562)
  • Side Garnish: ¥121,000 (RM3,131)
  • Rear Under Spoiler (RS): ¥104,500 (RM2,704)
  • Door Side Decal: ¥27,500 (RM712)
  • Scuff Plate (RS): ¥22,000 (RM569)
  • Rim Aluminium 18 inci CU10: ¥60,500 (RM1,566)
  • Performance Damper®: ¥143,000 (RM3,701)
  • Sports Silencer: ¥187,000 (RM4,840)
  • Wing Spoiler: ¥110,000 (RM2,847)
  • Tailgate Spoiler: ¥110,000 (RM2,847)
  • Door Mirror Cover: ¥39,600 (RM1,025)

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here