
Bekas juara dunia atlet paralimpik sukan badminton negara tahun 2005 mahu ‘melepaskan’ lebih 30 koleksi kereta klasik jenama Mercedes Benz yang dimilikinya kepada individu yang mampu menjaga kenderaan itu dengan baik.
Jasmi Md. Tegol, 58, berkata, keputusan itu dibuat selepas memikirkan keadaan dirinya yang semakin ‘uzur’ selepas beberapa kali terjatuh termasuk ketika ‘berentap’ dalam pertandingan badminton di peringkat kebangsaan.
Lagipun katanya, tiada seorang pun anak-anaknya yang berminat untuk menjaga atau memandu kereta tersebut kerana mereka lebih meminati kenderaan baharu.
Sebelum ini, saya ada 38 buah kereta klasik, namun disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, saya mula menjual beberapa buah dan kini hanya tinggal 31 buah kenderaan.
“Setiap kali banjir, saya perlu mengalihkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi dan kini nak angkat bateri (kereta) pun saya sudah tidak larat,” katanya.
Beliau yang kini masih berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk China, Melaka berkata, semua koleksi itu dibeli daripada pelbagai pihak antaranya kerabat diraja, jutawan dan lain-lain individu.
Menurutnya yang mempunyai dua isteri serta 12 orang anak, penjagaan kereta klasik berkenaan tidak sukar, namun enjinnya perlu dihidupkan setiap hari serta perlu mengenali mekanik yang jujur.
Berkongsi mengenai minatnya dalam mengumpul koleksi kenderaan berkenaan, dia menyatakan minat itu timbul sejak kecil lagi apabila kenderaan Mercedes dianggap kenderaan mewah serta pemiliknya mempunyai kelas atau kedudukan tertentu dalam masyarakat.
“Impian memiliki kereta jenama Mercedes itu tercapai juga sekitar tahun 1994 dan ketika itu saya diperli kerana membeli besi buruk pada anggapan sesetengah pihak.
“Disebabkan minat serta mempunyai wang ganjaran pencapaian cemerlang dalam sukan badminton, saya membeli semuanya secara berperingkat.
“Kereta klasik ini amat berbaloi untuk dimiliki kerana keselesaan dan tidak sama seperti macam kereta jenama lain.
“Walaupun kenderaan ini pada mata orang terlihat buruk, namun peminatnya tahu cara untuk menghargai keistimewaan yang ada padanya,” katanya.




























