
Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Mercedes-Benz C 200 AMG Line baharu ke pasaran tempatan pada harga RM292,888 seunit.
Pra-tempahan model tersebut telahpun dibuka dan penghantaran dijangka bermula pada Oktober 2025.
Sepanjang sedekad yang lalu, C-Class telah menjadi keluarga model jenama yang paling laris di Malaysia dan model pemasangan tempatan (CKD) di kemudahan Pekan itu dipadankan dengan kit badan AMG Line dan rim aloi 19-inci AMG.
Bahagian luaran AMG Line yang sporty ditakrifkan oleh apron hadapan AMG dengan salur masuk udara yang besar, apron belakang yang kelihatan seperti diffuser, cengkerang radiator dengan corak khas Mercedes-Benz dan sistem ekzos dengan dua kemasan ekor paip.
Sistem brek yang dinaik taraf mempunyai cakera berlubang yang diperbesarkan pada gandar hadapan bagi memastikan brek yang berkuasa dan stabil walaupun di bawah penggunaan berat yang berulang.
Lubang-lubang tersebut dilengkapi dengan tulisan “Mercedes-Benz” yang mengukuhkan karakter sporty C 200.
Pada kabin, kemasan AMG Line meningkatkan aura mewah dengan stereng pelbagai fungsi kemasan kulit Nappa dan pedal sukan keluli tahan karat AMG. Kemudian, bahagian lantai dilapik dengan karpet hitam bersama tulisan “AMG”.
Ia ditingkatkan dengan Pakej Parkir Kenderaan yang menampilkan kamera 360 darjah untuk penglihatan menyeluruh, di samping Pakej USB Plus yang menawarkan pelbagai port pengecasan pantas untuk pemandu dan penumpang.
Empat kamera menyediakan perspektif hadapan, sisi, dan belakang dengan pandangan mata burung 3D maya untuk panduan meletak kenderaan yang fleksibel.
Pakej USB Plus pula menyediakan enam port USB-C dan dua soket 12V, semuanya menyokong pengecasan pantas.
Spesifikasi teknikal Mercedes-Benz C 200 AMG Line :
- Sesaran Enjin: 1,496 cc
- Kuasa Enjin: 150 kW (204 hp) @ 5,800 – 6,100 rpm
- Tork Enjin: 300Nm @ 1,800 – 4,000 rpm
- Kuasa Motor Elektrik: 17kW
- Tork Motor Elektrik: 200Nm
- Pecutan (0-100 kmj): 7.3 saat
- Kelajuan Maksimum: 246kmj