
Tindakan berani seorang lelaki menceroboh dan cuba mencuri motosikal di Kuarters Polis Bukit Pelindung, di Kuantan kelmarin, membawa padah selepas kehadiran suspek dikesan dan ditahan anggota di lokasi kejadian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek dipercayai mencerobohi kawasan perumahan itu kira-kira jam 11 malam tetapi kehadiran lelaki mencurigakan itu disedari sekumpulan anggota polis dan bertindak menahan lelaki tersebut.
Menurutnya, ketika kejadian kumpulan anggota polis dalam perjalanan pulang ke kuarters selepas menghadiri mesyuarat terserempak dengan suspek.
“Menyedari kehadiran anggota polis, lelaki berkenaan cuba melarikan diri tetapi ditahan di kawasan perumahan itu,” katanya kepada Harian Metro.
Yahaya berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mencerobohi kawasan perumahan berkenaan dan cuba mencuri motosikal milik anggota polis.
Menurutnya, saringan air kencing lelaki berusia awal 30-an juga didapati positif dadah dan suspek juga adalah bekas banduan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun serta denda.































