
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan tahun baharu merupakan lembaran penting bagi kementeriannya untuk memastikan setiap perancangan pembangunan dan penyelenggaraan fasiliti awam berjalan dengan lebih efektif.
Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya akan terus memberikan fokus sepenuhnya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Melangkah ke tahun baharu, Kementerian Kerja Raya (KKR) memperbaharui tekad untuk terus memperkasakan kualiti infrastruktur negara dan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” tulisnya di laman Facebook.
Bagi memastikan keluhan dan masalah rakyat ditangani dengan segera, Alexander turut menyeru orang ramai untuk memanfaatkan sepenuhnya aplikasi MyJalan.
Aplikasi ini direka sebagai “one-stop centre” bagi memudahkan masyarakat membuat aduan berkaitan kerosakan jalan raya.


