Utama Berita Automotif Penamaan jalan baharu berasaskan jasa di Pulau Pinang, bukan perkauman

Penamaan jalan baharu berasaskan jasa di Pulau Pinang, bukan perkauman

41

Enam jalan di Pulau Pinang telah dinamakan semula bagi menghargai jasa tokoh-tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Antara jalan terlibat ialah Persiaran Chin Fung Kee (sebelum ini Persiaran Pantai Sinaran), Jalan Sheikh Ibrahim (sebahagian Jalan Tanjong Tokong Lama), Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Lebuhraya Bandar Cassia), Jalan SA Abdullah Bukhari (sebahagian Jalan Ayer Itam), Solok Dato Ismail Hashim (sebahagian Jalan Tengah) serta Jalan M Kuppan (sebelum ini Jalan Jiran 1).

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata langkah itu dilihat sebagai usaha kerajaan negeri dalam mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh berkenaan yang banyak berjasa, sama ada di peringkat negeri atau nasional.

“Penamaan semula jalan tidak seharusnya dipolitikkan apatah lagi dikaitkan dengan sentimen perkauman yang kini tular di media sosial.

“Semua individu yang dipilih adalah berdasarkan merit dan sumbangan mereka kepada masyarakat serta pembangunan negeri,” katanya. 

Zairil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Nama Geografi berkata, semua nama yang diberikan ini adalah tokoh tersohor yang telah berbakti kepada Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhan.

“Justeru, tidak timbul soal perbandingan atau polemik yang tidak berasas. Mereka yang dipilih ini sememangnya layak diberikan penghormatan sedemikian,” jelasnya. 

Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat perlu melihat isu tersebut secara lebih matang dan rasional tanpa dipengaruhi naratif sempit.

“Sentimen serta naratif perkauman yang dimainkan di media sosial adalah tidak sihat dan tidak mencerminkan semangat perpaduan yang kita junjung.

“Kita seharusnya menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh ini, bukannya mempertikaikan keputusan yang dibuat,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, Persiaran Pantai Sinaran di kawasan pembangunan The Light City, Glugor kini dikenali Persiaran Chin Fung Kee sebagai menghargai sumbangan besar tokoh kejuruteraan mendiang Tan Sri Prof Dr Chin Fung Kee kepada pembangunan Pulau Pinang.

Penamaan semula jalan sepanjang kira-kira 800 meter itu dibuat susulan permohonan rasmi oleh The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) bagi menghargai jasa tokoh berkenaan yang memainkan peranan utama dalam projek infrastruktur mega di Pulau Pinang.

Zairil berkata, pemilihan lokasi jalan yang terletak berhampiran Jambatan Pulau Pinang adalah sangat simbolik memandangkan mendiang Fung Kee merupakan antara jurutera kanan yang terlibat dalam pembinaan jambatan pertama tersebut.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here