
Dunlop melangkah ke fasa baharu di Malaysia di bawah pengurusan baharu, Toyotsu Binter Malaysia Sdn Bhd yang tampil membentangkan hala tuju diperbaharui jenama itu pada Malaysia Autoshow 2026.
Pengumuman ini juga menandakan kedudukan pasaran Dunlop semakin kukuh di Malaysia, disokong aksesibiliti lebih baik di seluruh negara, hubungan erat dengan rakan pengedar dan peruncit.
Ia juga berserta pengenalan barisan produk baharu selaras dengan kenderaan konvensional dan segmen kenderaan elektrik (EV) yang kian berkembang.
Dunlop mengekalkan kedudukan kukuh sejak tahun 1960-an, menjadikannya jenama relevan merentasi generasi pemandu.
Hala tuju ini diperkukuhkan melalui penyelarasan Toyotsu Binter dengan rangkaian luas Toyota Tsusho Corporation serta kerjasama erat dengan prinsipal, Sumitomo Rubber Industries.

Usaha ini memperkasa peranan Dunlop dalam menyokong trend mobiliti yang sedang berkembang di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara.
Dunlop memperkenalkan Blue Response TG, tayar kereta penumpang direka untuk memberikan keselesaan pemanduan dan kestabilan pengendalian lebih baik, di samping mengoptimumkan rintangan golekan serta senyap di dalam kabin—ciri-ciri prestasi diperlukan kenderaan jenis EV .
Marcus Lim, Pengarah Urusan Toyotsu Binter Malaysia Sdn Bhd berkata, peralihan ini menandakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran Dunlop di peringkat tempatan dan mencerminkan komitmen jangka panjang yang diperbaharui terhadap pasaran Malaysia.
“Ini menandakan permulaan bab baharu bagi Dunlop di Malaysia. Fokus kami adalah untuk memperkukuh konsistensi bekalan, meluaskan capaian pengedar.
“Dalam masa yang sama, kami komited memastikan pemandu di Malaysia mendapat manfaat daripada teknologi tayar global terkini Dunlop, termasuk produk dibangunkan untuk menyokong peralihan ke arah mobiliti elektrik,” katanya.
Toyotsu Binter Malaysia turut bekerjasama dengan rangkaian lebih daripada 190 pemborong sah, rakan dagang, dan pengedar langsung Dunlop di seluruh negara, terutamanya di Semenanjung Malaysia, dengan perancangan pengembangan lanjut dalam tempoh dua tahun akan datang.
Syarikat itu juga sedang meneroka peluang memperkenalkan konsep peruncitan pakar Dunlop sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan rangkaian jangka panjangnya.
Selain usaha pengembangan pengedaran,
Toyotsu Binter Malaysia turut memperkukuh kedudukan Dunlop dalam kedua-dua segmen gantian dan peralatan asli (OEM) di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha meluas untuk mengembangkan kehadiran jenama tersebut dalam program bekalan pengeluar kenderaan.
Ini termasuklah kelengkapan peralatan asli pada model terpilih daripada Toyota, Lexus, Isuzu, Mazda, dan Leapmotor, termasuk model elektrik sepenuhnya Toyota bZ4X, yang merangkumi platform kenderaan konvensional dan elektrik.
Berucap di acara tersebut, Takehiko Asai, Pengarah Urusan Sumitomo Rubber Industries ASEAN, berkata: “Keupayaan kejuruteraan Dunlop terus menyokong perkongsiannya dengan pengeluar kenderaan global, dan hubungan OEM kami mencerminkan keyakinan pembuat kereta terhadap prestasi dan kebolehpercayaan Dunlop.
“Ini menyediakan asas kukuh ketika kami terus memperkenalkan produk yang direka untuk memenuhi keperluan mobiliti yang berkembang di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Kenderaan elektrik kini merangkumi kira-kira satu daripada setiap 14 kenderaan yang baru didaftarkan di Malaysia, dengan sasaran kerajaan agar kenderaan elektrik mewakili 15 peratus daripada jumlah volum industri menjelang 2030, disokong oleh pengembangan berterusan infrastruktur pengecasan nasional.
Menyahut peralihan ini, Dunlop memperluas ketersediaan tayar yang direka khusus untuk menangani tuntutan unik EV, termasuk berat kenderaan yang lebih tinggi, hantaran tork segera, dan pengurangan bunyi kabin.
Model-model yang kini diposisikan untuk keserasian EV termasuk Sport Maxx Lux, Blue Response TG, SP Sport Maxx 060+, dan e.Sport Maxx.
Pengenalan e.Sport Maxx yang akan datang di Malaysia dijangka akan memperkukuh lagi penawaran produk sedia EV daripada Dunlop, menggabungkan kecekapan rintangan golekan yang lebih baik dengan prestasi basah dan kering yang mantap, serta kesenyapan kabin yang dipertingkatkan melalui teknologi Silent Core.
Berdasarkan hala tuju produk yang diperluas ini, kehadiran wajah baharu Dunlop di Malaysia Autoshow 2026 menandakan usaha berterusan untuk memperkukuh kedudukannya di Malaysia sebagai jenama tayar prestasi premium menggabungkan kejuruteraan Jepun termaju dengan aksesibiliti untuk pemandu di Malaysia.





























