
Dunlop meneruskan fokus mereka untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran Malaysia menerusi peluasan rangkaian pengedar melebihi 30 peratus, daripada 150 kepada lebih 200 premis seluruh negara, serta penawaran produk lebih komprehensif.
Pengembangan ini mencerminkan keyakinan industri terhadap Dunlop, jenama yang bertapak di Malaysia sejak 1963 sebagai pengeluar tayar tempatan paling senior.
Dikendali Toyotsu Binter Malaysia dengan sokongan teknikal Sumitomo Rubber Industries, Dunlop memfokuskan teknologi tayar premium mampu milik bagi memenuhi permintaan segmen kereta penumpang, SUV dan kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat.

Pengarah Urusan Toyotsu Binter Malaysia, Marcus Lim berkata, strategi syarikat bukan sekadar menambah premis, tetapi memastikan kebolehcapaian produk melalui kedai tayar, pusat servis dan platform digital.
“Malaysia kekal pasaran strategik. Pengguna kini utamakan kualiti, keselamatan dan nilai,” katanya.
Portfolio produk Dunlop merangkumi
- Blue Response TG – untuk kegunaan harian
- SP Sport Maxx 060 – untuk prestasi
- Grandtrek R/T01 – bagi SUV
- e.Sport Maxx – yang akan diperkenal khusus untuk EV

Dunlop turut menjadi pembekal OEM kepada Toyota, Lexus, Isuzu, Mazda dan Leapmotor, sekali gus membuktikan keyakinan terhadap kualiti dan teknologi dimiliki jenama itu.
Pengarah Urusan Sumitomo Rubber Asia, Takehiko Asai menjelaskan, komitmen Dunlop terhadap inovasi selama lebih 130 tahun, termasuk pembangunan tayar cekap tenaga, cengkaman jalan basah yang lebih baik dan teknologi tayar pintar bagi menyokong mobiliti masa depan.
Dunlop akan terus memperluas rangkaian dan memperkenal produk mengikut keperluan pemanduan tempatan bagi memastikan pertumbuhan mampan di Malaysia.






























