Utama Berita Automotif BMW iX3 Long Wheelbase 2026 hadir di China, bakal masuk Malaysia untuk...

BMW iX3 Long Wheelbase 2026 hadir di China, bakal masuk Malaysia untuk pelanggan mahu ruang lebih

7

BMW memperkenalkan kenderaan aktiviti sukan (SAV) elektrik BMW iX3 long wheelbase (LWB) generasi baharu di Pameran Automotif Antarabangsa Beijing 2026.

Sejak pengenalan pertama di Pameran Motor Munich pada September 2025, BMW iX3 baharu menerima permintaan yang tinggi di pasaran Eropah.

Model ini secara konsisten menyumbang kepada peningkatan pesanan kenderaan elektrik BMW dengan kilang di Debrecen telah memulakan pengeluaran dua syif bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Rekaan Jarak Roda Panjang dan Kawalan Pemanduan

Model khusus untuk pengguna di China ini menampilkan jarak roda yang lebih panjang sebanyak 108 mm untuk meningkatkan keselesaan dan ruang bagi penumpang belakang.

Walaupun dengan penambahan saiz, ia tetap mengekalkan perkadaran seimbang dan karakter sport yang menjadi ciri khas model SAV BMW.

Keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan dicapai menerusi sistem casis dan ampaian yang ditala khusus.

Pengalaman pengendalian ini disokong oleh unit kawalan pusat Heart of Joy dan perisian BMW Dynamics yang menyepadukan fungsi kuasa, membrek, pemulihan tenaga dan stereng.

Sistem ini turut menawarkan fungsi pembrekan lancar untuk pemanduan yang lebih yakin dan lancar.

Interaksi Digital dan Lebuh Raya Rumit di China

BMW iX3 baharu merupakan model pertama yang dilengkapi dengan panoramic iDrive iaitu sistem interaksi manusia dan mesin (HMI) generasi baharu.

Sistem ini direka untuk memberikan fungsi digital yang menyeluruh dengan membantu pemandu kekal fokus menerusi susun atur visual cone.

Rekaan ini merangkumi paparan panoramik pada paras mata, paparan head-up 3D, serta stereng dengan maklum balas haptik.

Sistem operasi X generasi baharu menerapkan kecerdasan buatan (AI) dan senario dari China, di mana 70% kod sumber dioptimumkan oleh pasukan R&D tempatan.

Ia menyepadukan navigasi imersif Gaode Maps, Pembantu Peribadi Pintar BMW hasil kerjasama Alibaba dan DeepSeek, serta ketersambungan penuh Huawei HarmonyOS NEXT.

Selain itu, sistem bantuan pemanduan semua senario yang dibangunkan bersama Momenta direka khusus untuk mengendalikan persekitaran bandar dan lebuh raya yang rumit di China.

Rangkaian Kuasa dan Teknologi Elektrik

iX3 menggunakan seni bina voltan tinggi 800V all-terrain merangkumi teknologi pacuan elektrik generasi baharu yang membolehkan perjalanan jarak jauh dilakukan dengan mudah.

Menggunakan dua motor elektrik, ia menghasilkan kuasa gabungan 345 kW (469 ps) dan tork 645 Nm.

Ia dilengkapi dengan bateri NMC (net) berkapasiti 108.7 kWj serta teknologi BMW eDrive generasi keenam.

Jarak gerak gabungan CLTC mencecah lebih 900 km dan jangkakan angka yang menurun untuk standard WLTP.

Sistem ini menyokong kuasa pengecasan DC maksimum sehingga 400 kW. Pengecasan selama 10 minit memberikan jarak gerak kira-kira 400 km (CLTC).

Pengecasan dari 10% ke 80% pula hanya mengambil masa 21 minit. Model ini turut mempunya fungsi bekalan kuasa kenderaan ke beban (V2L) untuk peranti luaran.

Kelestarian dan Eksport ke Malaysia

iX3 ini dibina dengan prinsip circular design yang mengutamakan penggunaan bahan kitar semula bermutu tinggi supaya kenderaan boleh dileraikan dan diguna semula dengan cekap selepas tamat tempoh hayat.

Bahagian dalaman turut menggunakan fabrik rendah karbon yang inovatif bagi memastikan kelestarian tanpa mengorbankan nilai eksklusif BMW.

Hab pengeluaran BMW di Shenyang menggunakan 100% tenaga elektrik hijau untuk keseluruhan proses pengeluaran.

Selepas pelancaran di China, model ini akan dieksport ke pasaran antarabangsa termasuk Thailand, Malaysia, Indonesia dan India.

Sewaktu artikel ini ditulis, BMW iX1 L buatan China sudah pun mendarat di Malaysia. Jarak pemanduan sehingga 433 km (WLTP) dan ditawarkan pada harga RM252,800.

Satu harga yang cukup menarik!

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here