Utama Berita Automotif Nanta Linggi berang projek LTU Gua Musang terbengkalai, kontraktor ‘cabut awal’

Nanta Linggi berang projek LTU Gua Musang terbengkalai, kontraktor ‘cabut awal’

121
“Rakyat tidak boleh dihukum kerana kegagalan kontraktor!,” Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi amaran keras selepas melihat keadaan dhaif dan berbahaya di tapak projek Lingkaran Tengah Utama Pakej 3B & 3C di Gua Musang, pada Isnin.

Beliau yang turun padang bagi meninjau keadaan fizikal projek tersebut mengakui tidak berpuas hati dengan situasi yang berlaku dan menyifatkan ia sebagai bebanan buat penduduk setempat dan pengguna jalan raya.

Menurut beliau, punca utama kesengsaraan rakyat di kawasan itu susulan tindakan kontraktor asal yang menghentikan kerja lebih awal daripada tarikh kontrak ditamatkan.

“Projek ini secara rasmi ditamatkan kontrak pada Oktober 2025. Namun, tindakan kontraktor yang menghentikan kerja lebih awal menyebabkan penyelenggaraan jalan turut terhenti sejak Jun 2025 lagi.

“Terus terang saya katakan, keadaan di sini memang tidak memuaskan. Jalan rosak, isu keselamatan dan kebimbangan rakyat adalah perkara yang saya sendiri lihat dan dengar hari ini,” katanya dalam nada kesal.

RM90 Juta Untuk Kontraktor Penyelamat

Mengulas lanjut mengenai penyelesaian jangka panjang, Nanta memaklumkan kerajaan bakal melantik ‘kontraktor penyelamat’ bagi menyiapkan baki kerja projek yang terbengkalai itu.

Proses menyelamatkan projek LTU Pakej 3B & 3C tersebut dijangka akan menelan belanja tambahan sebanyak RM90 juta.

Bagaimanapun, memandangkan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengarahkan syarikat konsesi senggara jalan persekutuan untuk mengambil alih tugas-tugas penyelenggaraan dengan segera.

“Kita akan mulakan kerja-kerja rutin seperti menampal lubang (pothole), memotong rumput dan membersihkan saliran jalan. Ini tindakan sementara bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin buat masa ini,” katanya.

Di samping itu, Alexander Nanta juga mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan prosedur operasi standard khas supaya projek sakit sedemikian tidak lagi menyebabkan rakyat terdedah kepada risiko keselamatan apabila kontrak ditamatkan pada masa hadapan.

 
 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here