
Hasil petroleum negara dijangka berdepan pengurangan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion jika harga minyak mentah Brent susut ke paras USD55 hingga USD60 setong pada 2026.
Ia susulan jangkaan lambakan minyak mentah global susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengambil alih pentadbiran Venezuela.
Menurut laporan strategi MBSB Research, operasi ketenteraan AS di Venezuela yang memiliki rizab minyak terbesar dunia, bukan sahaja mengejutkan pasaran dunia bahkan berpotensi meningkatkan pengeluaran minyak negara itu.
MBSB Research menjelaskan bahawa setiap kejatuhan 10 peratus dalam harga minyak boleh diterjemahkan kepada penurunan hasil berkaitan petroleum kerajaan sebanyak 8.1 peratus.
Firma penyelidikan pasaran itu berkata, penurunan harga minyak ke paras ramalan USD55 hingga USD60 satu tong adalah lebih rendah berbanding unjuran rasmi kerajaan, iaitu antara USD60 hingga USD65 satu tong.
Keadaan ini berpotensi melebarkan defisit fiskal negara antara 0.15 peratus hingga 0.20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Bagaimanapun, impak negatif berkenaan dijangka dapat dikurangkan melalui penjimatan dalam perbelanjaan subsidi bahan api,” katanya.
PENJIMATAN PERUNTUKAN SUBSIDI

Laporan itu juga menyatakan bahawa kerajaan mungkin menjimatkan peruntukan subsidi antara RM1 bilion hingga RM2.5 bilion jika harga minyak kekal rendah.
Penjimatan ini adalah hasil daripada rasionalisasi subsidi diesel dan RON95 yang sudah dilaksanakan sebelum ini, yang mengurangkan peruntukan tahunan daripada RM18 bilion hingga RM20 bilion kepada sekitar RM10 bilion hingga RM12 bilion.
Dengan mengambil kira penjimatan subsidi itu, kesan bersih kepada defisit fiskal negara dijangka lebih kecil, iaitu sekitar 0.03 peratus hingga 0.15 peratus daripada KDNK.
“Ini memberi sedikit ruang kelegaan kepada kedudukan kewangan negara, walaupun berdepan cabaran penurunan hasil,” ujarnya.
Dalam pada itu, MBSB Research mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap sektor minyak dan gas (O&G) tempatan memandangkan prospek harga minyak mentah yang lemah.
Firma penyelidikan itu menjangkakan lebihan bekalan minyak global akan terus menekan harga, menyukarkan kenaikan harga saham syarikat huluan.






























