
Beberapa bulan selepas Suzuki memperkenalkan versi kemas kini untuk Jimny dan Jimny Sierra di Jepun, kini giliran Jimny Nomade lima pintu pula menerima sentuhan yang sama.
Luaran Kekal Ringkas, Tapi Ada Penambahan Penting
Dari luar, Jimny Nomade tidak berubah banyak. Namun Suzuki menambah sensor baharu di atas bukaan bampar hadapan.
SUV ini juga mendapat warna baharu Granite Gray Metallic, menjadikan jumlah pilihan warna kini tujuh.
Kalau nak tampil lebih garang, Suzuki masih menawarkan pelbagai aksesori rasmi, selain pilihan aftermarket dari tuner Jepun yang memang tidak pernah mengecewakan.
Kabinnya Kini Lebih Pintar
Masuk ke dalam, perubahan paling ketara ialah skrin infotainmen 9 inci (pilihan tambahan) yang menyokong integrasi telefon pintar, navigasi terbina dalam dan kamera undur.
Ia dilengkapkan dengan paparan multi-informasi 4.2 inci di antara meter analog untuk paparan data kenderaan secara pantas.
Suzuki turut menambah baik beberapa butiran kecil tetapi berguna:
- Lampu dalaman LED kini standard
- Stereng menerima butang kawalan audio dan telefon
- Port USB dengan penutup kini tersedia pada ruang tray hadapan
Enjin Sama, Teknologi Keselamatan Lebih Lengkap
Bahagian mekanikal tidak berubah. Jimny Nomade masih menggunakan enjin petrol 1.5L NA empat silinder dengan output 101 hp dan 130 Nm, dipadankan sama ada transmisi manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan, serta pacuan 4WD seperti biasa.
Namun pakej keselamatan ADAS dipertingkat dengan:
- Dual Sensor Brake Support II
- Sokongan brek kelajuan rendah
- Amaran & pencegahan keluar lorong
- Fungsi pengecaman papan tanda yang dipertingkat
Paling penting, varian automatik kini mendapat kawalan jelajah adaptif, dan semua varian menerima penderia parkir depan & belakang sebagai standard.
Harga di Jepun
Jimny Nomade yang dikemas kini bermula pada ¥2,926,000 (sekitar RM74,584) tidak termasuk pilihan aksesori seperti:
- Skrin 9 inci: ¥128,700 (RM3,281)
- Warna dua tona: ¥55,000 (RM1,402)
- Pakej aksesori Craggy Style: ¥404,030 (RM10,299)
Permintaan Masih Terlalu Tinggi
Disebabkan permintaan yang melampau tinggi, tempahan antara 30 Januari hingga 28 Februari akan melalui sistem undi, sebelum tempahan biasa dibuka pada 1 Mac.
Pengeluaran dijadual bermula Julai kerana Suzuki perlu menyelesaikan tunggakan tempahan model sebelum ini.
Untuk makluman, Jimny Nomade lima pintu ini sebenarnya diimport dari kilang Suzuki di Gurugram, India. Dengan kemas kini ini, pasaran lain seperti India dan Australia dijangka menerima perubahan serupa tidak lama lagi.


































