Utama Berita Automotif Suzuki eSky mula dijual di Jepun, harga RM40 ribu sahaja selepas subsidi!

Suzuki eSky mula dijual di Jepun, harga RM40 ribu sahaja selepas subsidi!

40

Suzuki Jepun mengumumkan harga jualan rasmi bagi kei car elektrik serba baharu eSky, bermula dari ¥1,552,000 (RM40 ribu) selepas subsidi. 

Pertama kali didedahkan Ogos lalu, Suzuki eSky merupakan evolusi kepada konsep Vision e-Sky namun masih mengekalkan sebahagian besar elemen pada model konsep asal. 

Apa yang berubah cuma unit lampu, bampar, rim, pemegang pintu serta penutup cermin sisi yang lebih mesra untuk diproduksikan pada skala besar. 

Ruang kabin menyediakan konfigurasi empat tempat duduk dengan pelbagai ruang simpanan serta dulang barang pada papan pemuka. 

Antara ciri yang tersedia termasuklah skrin kluster digital, skrin infohibur 10.1 inci untuk varian tertinggi serta panel kawalan penyaman udara berasingan. 

Suzuki eSky dibina berdasarkan platform Heartect e, dipacu dengan e-Axle baharu yang terdiri daripada motor elektrik, unit penyongsang dan unit gear pengurangan yang memacu roda depan. 

Motor elektrik ini mampu menjana kuasa 94 hp, namun ia mungkin akan dihadkan kepada 63 hp bagi mematuhi regulasi kereta kecil di sana. 

Pek bateri LFP 26 kWh pula menawarkan jarak pandu WLTC sejauh 310 km, dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW. 

Harga jualan rasmi bagi Suzuki eSky bermula dari ¥2,120,000 (RM54,741) tidak termasuk subsidi kerajaan sehingga ¥568,000 (RM14,667). 

Untuk pasaran Jepun, Suzuki turut menawarkan dua pakej penggayaan terdiri daripada pakej Mild Sporty bertemakan merah jambu, biru dan kelabu diikuti dengan pakej Neo Future dengan tema kuning dan hitam. 

Harga jualan bagi pakej adalah seperti berikut:

  • Mild Sporty Kit: ¥103,840 (RM2,681)

  • Neo Future Kit: ¥116,160 (RM2,999)

  • Alas lantai mesra alam: ¥28,600 (RM738)

Selain pasaran Jepun, EV paling kecil Suzuki setakat ini akan turut dieksport ke pasaran Eropah dan UK bermula tahun 2027. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here