Utama Berita Automotif Setel perkenal ciri Voice Fuelling

Setel perkenal ciri Voice Fuelling

9

Setel memperkenalkan ciri baharu berkuasa kecerdasan buatan (AI), Voice Fuelling yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam minyak hanya menggunakan arahan suara dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil.

Ciri berkenaan yang kini dalam fasa beta menjadi evolusi kepada fungsi Pengisian One-tap, sekali gus menawarkan pengalaman mengisi minyak lebih mudah dan mesra pengguna menerusi arahan suara.

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Abdullah Ayman Awaluddin berkata, Voice Fuelling dibangunkan bagi memenuhi keperluan pelbagai pengguna termasuk pemandu, penunggang motosikal, pengendali fleet dan pemandu e-hailing yang mahukan proses pengisian minyak lebih lancar.

Katanya, ciri itu turut memberi kemudahan kepada pengguna yang kurang biasa menggunakan aplikasi atau lebih selesa memberikan arahan secara lisan berbanding mengetik pada skrin.

“Daripada perlu mengetik pada skrin, kini cukup sekadar menyebut nombor pam.

“Voice Fuelling mencerminkan bagaimana AI boleh memberi nilai dalam perkara yang kita lakukan setiap hari, bukan hanya mengenai teknologi tetapi bagaimana ia boleh mengurangkan kesulitan dan menjadikan pengalaman lebih intuitif serta dekat dengan pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sokongan empat bahasa itu juga penting bagi menjadikan teknologi lebih semula jadi dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Menerusi Voice Fuelling, pengguna hanya perlu mengaktifkan ciri berkenaan dalam aplikasi Setel sebelum menyebut nombor pam untuk memulakan pengisian minyak.

Sistem AI Setel kemudiannya menguruskan transaksi berdasarkan kaedah pembayaran dan pilihan pengisian yang ditetapkan pengguna.

Bagi membantu pelanggan mencuba ciri itu, pengedar PETRONAS dan kru di stesen turut akan memperkenalkan Voice Fuelling serta membantu pengguna mengaktifkannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Setel turut menawarkan ganjaran kepada pengguna baharu yang memuat turun aplikasi, mendaftar, mengesahkan akaun dan membuat pengisian minyak sekurang-kurangnya satu liter.

Pengguna baharu layak menerima lima kali mata ganjaran Mesra Rewards sehingga 500 mata, dengan tawaran itu terpakai untuk pengisian RON95, RON97 dan Diesel termasuk BUDI95 dan BUDI Diesel, tertakluk kepada terma dan syarat.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here