Utama Berita Automotif Saksi : Bekas Pengurus Prestasi Petronas dedah maklumat sulit kepada Petros

Saksi : Bekas Pengurus Prestasi Petronas dedah maklumat sulit kepada Petros

9

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini diberitahu bahawa bekas Pengurus Prestasi (Unit Perniagaan) PETRONAS telah menghantar maklumat perniagaan dan struktur kewangan syarikat itu kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang mana ia memudaratkan syarikat dan memberi kesan kepada kepentingan negara.

Maklumat berkenaan, iaitu dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance diklasifikasikan sebagai dokumen dalaman sahaja kerana setiap helaian dokumen ditandakan sebagai ‘dalaman’ dan tidak boleh dikongsi tanpa kebenaran Ketua Jabatan Kewangan dan Risiko PETRONAS Carigali Sdn Bhd.

Perkara itu dinyatakan bekas Pengurus Kanan Perhubungan Perusahaan PETRONAS, Jumsuri Basri ketika memberikan keterangan di Mahkamah Sesyen terhadap pegawai terbabit, Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni, 41, yang didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat.

“Perbuatan itu telah mendedahkan maklumat berkaitan perniagaan dan struktur kewangan PETRONAS boleh mendatangkan kemudaratan kepada syarikat serta memberi kesan kepada kepentingan negara.

“Saya percaya dokumen berkenaan telah diamanahkan kepada beliau untuk dijaga kerahsiaannya,” katanya.

Jumsuri berkata, hasil semakan Jabatan Cyber Security PETRONAS mendapati pada 3.19 petang 8 Jun 2024, Mohd Khairul Akmal telah menghantar satu dokumen sulit bertajuk Q1 2024 Upstream Business Performance melalui e-mel PETRONAS miliknya kepada alamat e-mel PETROS.

Beliau berkata, semakan mendapati tertuduh telah cuba menghantar e-mel berkenaan pada jam 7.19 pagi tetapi gagal kerana saiz fail terlalu besar.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa tertuduh membocorkan maklumat itu ketika beliau berada di Menara Berkembar PETRONAS, pada 12.41 tengah hari, 6 Disember 2024.

“Saya mengetahui perkara ini selepas menerima panggilan daripada wakil Whistle Blowing Committee (WBC) pada 6 Disember 2024 yang memaklumkan mengenai kebocoran maklumat kepada PETROS.

“Wakil berkenaan kemudiannya menghantar e-mel bersama laporan daripada pemberi maklumat (whistleblower) serta dokumen yang didakwa telah dibocorkan.

“Selepas menerima maklumat berkenaan, saya telah memaklumkan kepada Sumber Manusia, Bahagian Kewangan Petronas dan Jabatan Cyber Security PETRONAS bagi tujuan pengesahan dan tindakan lanjut,” katanya.

Susulan kejadian itu, saksi berkata, Mohd Khairul Akmal telah digantung kerja bermula 9 Disember 2024 sehingga 8 Februari 2025 bagi membolehkan siasatan dalaman PETRONAS dijalankan.

Katanya, PETRONAS juga mempunyai Code of 2 Conduct and Business Ethics (CoBE) yang menetapkan polisi disiplin dan tindakan terhadap mana-mana pekerja yang melakukan salah laku termasuk penyebaran maklumat sulit syarikat.

Jumsuri berkata, beliau kemudian membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dijalankan kerana perkara berkenaan membabitkan kepentingan PETRONAS sebagai sebuah syarikat milik kerajaan Malaysia.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam bela Louis Liaw Vern Xien, Jumsuri tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa beliau membuat laporan polis secara terburu-buru sedangkan siasatan masih belum diselesaikan.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa dia telah menyebabkan Mohd Khairul Akmal dituduh secara salah di mahkamah.

Mohd Khairul Akmal didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat iaitu dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial kepada PETROS, yang mana dokumen berkenaan diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi (Unit Perniagaan) PETRONAS.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang dan 3.21 petang, 8 Jun 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai setahun, manakala bagi Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A (1), jika sabit kesalahan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here