
Dalam dunia motosikal moden yang semakin dipengaruhi teknologi elektronik, tuil klac kekal sebagai antara komponen paling tradisional yang menghubungkan penunggang dengan jentera.
Namun Honda melihat masih ada ruang untuk menambah baik pengalaman tersebut menerusi pengenalan sistem E-Clutch.
Mungkin ada yang kurang senang dengan kemunculan teknologi seperti ini, sama seperti penerimaan awal terhadap transmisi automatik dalam dunia automotif suatu ketika dahulu.
Namun, tujuan utama Honda E-Clutch bukan untuk menghapuskan pengalaman menunggang motosikal manual, sebaliknya memudahkan operasi klac dan pertukaran gear tanpa mengorbankan kawalan yang digemari penunggang.
Malah, Honda masih mengekalkan tuil klac konvensional dan penunggang boleh menggunakannya seperti biasa pada bila-bila masa.
Di sinilah Honda E-Clutch berbeza daripada sistem seperti BMW Automated Shift Assistant (ASA) dan Yamaha Automated Manual Transmission (Y-AMT).
Kedua-dua sistem tersebut tidak menggunakan tuil klac tangan tradisional, manakala Y-AMT turut menggantikan pedal penukar gear dengan suis pada bar hendal.
Sebaliknya, Honda E-Clutch mengekalkan susun atur motosikal manual yang biasa digunakan penunggang dengan sistem elektronik mengambil alih operasi klac apabila diperlukan.
Bagaimana Honda E-Clutch Berfungsi?
Secara asasnya, Honda E-Clutch menggunakan aktuator elektronik untuk mengawal operasi klac ketika motosikal bergerak, memulakan perjalanan dan menukar gear.
Melalui sistem ini, penunggang boleh menukar gear tanpa perlu menarik tuil klac dalam kebanyakan situasi.
Sistem akan menguruskan bukaan dan pelepasan klac secara automatik bagi memastikan pertukaran gear berlaku dengan lebih lancar.
Walaupun begitu, tuil klac masih dikekalkan dan boleh digunakan seperti motosikal manual biasa pada bila-bila masa.
Lebih Lancar Berbanding Penukar Cepat (Quickshifter) Konvensional
Menurut Honda, salah satu kelebihan utama E-Clutch ialah penggunaan kawalan separa klac (half-clutch) ketika pertukaran gear.
Kebanyakan sistem penukar cepat (quickshifter) hanya memutuskan kuasa enjin buat seketika bagi membolehkan gear ditukar tanpa penggunaan klac.
Kaedah ini berkesan, namun kadangkala menghasilkan sentakan terutama ketika menunggang pada kelajuan rendah.
Sebaliknya, E-Clutch mengawal gelinciran klac secara aktif semasa pertukaran gear berlaku.
Hasilnya, peralihan tork menjadi lebih lancar dan kurang mengejutkan penunggang.
Perbezaan tersebut paling ketara ketika menunggang dalam kesesakan trafik bandar, melalui bulatan kecil atau bergerak perlahan dalam keadaan trafik padat.
Kurangkan Risiko Enjin Mati
Satu lagi manfaat utama E-Clutch ialah keupayaannya mengurangkan risiko enjin mati (stalling), terutama ketika memulakan perjalanan atau bergerak perlahan.
Dengan bantuan elektronik yang sentiasa memantau operasi klac, penunggang tidak lagi perlu terlalu risau tentang koordinasi antara pendikit, klac dan gear.
Keadaan ini memberi keyakinan tambahan kepada penunggang baharu yang masih membiasakan diri dengan motosikal transmisi manual.
Fungsi Auto-Blip Untuk Penurunan Gear
Generasi terkini E-Clutch yang digunakan pada model seperti Honda XL750 Transalp dan CB750 Hornet (pasaran luar negara) turut dilengkapi fungsi auto-blip.
Ketika menurunkan gear, sistem akan meningkatkan kelajuan enjin secara automatik supaya sepadan dengan gear yang dipilih.
Proses ini membantu mengurangkan hentakan pada transmisi serta meningkatkan kestabilan motosikal ketika membrek.
Pada masa sama, E-Clutch turut mengawal gelinciran klac bagi memastikan penurunan gear berlaku dengan lebih lancar berbanding sistem penukar cepat biasa.
Membantu Kestabilan Ketika Membrek
Honda turut menambah fungsi kawalan bagi mengurangkan fenomena rear-wheel hop, iaitu keadaan tayar belakang melompat atau kehilangan cengkaman ketika nyahpecutan agresif.
Apabila sistem mengesan perbezaan putaran antara tayar belakang dan kelajuan sebenar motosikal, E-Clutch akan membenarkan sedikit gelinciran pada klac untuk menyerap beban tersebut.
Pendekatan ini membantu meningkatkan kestabilan motosikal ketika memasuki selekoh atau membrek dengan lebih agresif.
Sesuai Untuk Kegunaan Harian dan Pengembaraan
Kelebihan E-Clutch bukan hanya untuk jalan raya biasa malah lebih memudahkan untuk pengembaraan.
Bagi motosikal kategori kembara seperti XL750 Transalp, sistem ini membolehkan penunggang memberi lebih tumpuan kepada permukaan jalan, imbangan badan dan kawalan pendikit ketika menunggang di laluan tidak berturap.
Dengan kurang keperluan mengendalikan klac secara manual, penunggang dapat memberi perhatian yang lebih kepada keadaan sekeliling dan keadaan permukaan laluan.
Boleh Dipadamkan Bila-bila Masa
Menariknya, Honda tidak memaksa penunggang menggunakan E-Clutch sepanjang masa. Sistem tersebut boleh dipadamkan dan motosikal akan berfungsi sepenuhnya seperti model manual biasa.
Ini memberi kebebasan kepada penunggang yang mahukan kawalan penuh terhadap operasi klac, termasuk ketika latihan kemahiran menunggang atau penggunaan khusus seperti gymkhana.
Keupayaan untuk kembali sepenuhnya kepada operasi manual merupakan salah satu kelebihan unik yang membezakan E-Clutch daripada kebanyakan sistem klac automatik lain di pasaran.
Honda E-Clutch Bukan Ganti Manual
Honda E-Clutch bukanlah sistem automatik yang menggantikan transmisi manual sepenuhnya tetapi berfungsi sebagai pembantu elektronik.
Ia mengekalkan pengalaman menunggang yang digemari ramai sambil menambah lapisan teknologi yang menjadikan setiap pertukaran gear lebih lancar, selamat dan menyeronokkan.
Untuk pasaran tempatan, pengguna boleh merasai teknologi ini melalui CBR650R dan CB650R.














