
Tidak banyak model motosikal tiga roda (lengkap dengan sidecar) yang ada di pasaran, dan kalau ada pun ia dijual dengan harga di luar kemampuan.
Di pasaran Amerika Syarikat, pengeluar Royal Alloy kini menawarkan model Grand Prix 300S yang didatangkan lengkap dengan pemasangan sidecar standard dari kilang.
Model GP 300S ini dikuasakan enjin silinder tunggal 278 cc sejukan cecair dengan kuasa sekitar 21.5 hp dan tork 23 Nm.
Secara standard, ia hadir dengan ciri seperti rim 12 inci, balutan tayar Pirelli, suspensi depan anti-dive, serta lampu LED penuh.
Komponen sidecar pula diperbuat daripada bahan gentian kaca, lengkap dengan ciri seperti cermin penghadang angin depan, ruang simpanan berkunci, serta lampu brek depan dan belakang bersepadu.
Sidecar ini hanya dikhususkan untuk model Royal Alloy Grand Prix 300S (2027), bermakna ia tidak boleh dipasang pada model lama.
Harga untuk sebuah Royal Alloy Grand Prix 300S bermula dari US$6,199 (RM25,342) sementara sidecar pula berharga US$3,199 (RM13,078).
Sebagai perbandingan, sebuah jentera sidecar Ural Neo 500 dijual pada harga sekitar US$13,999 (RM57,228), hadir dengan enjin parallel-twin 446 cc berkuasa 33.5 hp yang dipadankan dengan transmisi 5-kelajuan dan gear undur mekanikal!

































