
CFMOTO Malaysia secara rasmi melancarkan CFMOTO 250 Dual yang juga model pertama CFMOTO Malaysia 2026.
Pelancaran ini menandakan pencapaian penting jenama itu dalam membawa jentera serba boleh dan direka untuk membina keyakinan kepada penunggang.

Motosikal ini bukan hanya sesuai untuk kegunaan dalam bandar, tapi lebih tepat bagi mereka yang sukakan pengalaman off-road dengan penuh gaya.
Ditawarkan pada harga bermula RM9,888, CFMOTO 250 Dual kini boleh mula ditempah dan dimiliki penggemar motosikal lasak pelbagai guna di semua rangkaian pengedar CFMOTO Malaysia dan Mforce seluruh negara.

Jentera penuh berkuasa ini dipacu enjin 249CC satu silinder, 4-lejang, penyejukan cecair dengan kemampuan menghasilkan kuasa maksimum 18 kW pada 8,000 rpm. Tork puncak pula 22.5 N-m pada 7,000 rpm.
Digabungkan dengan sistem EFI, enjin ini menawarkan respon pendikit yang lancar, kecekapan bahan api dan prestasi boleh diharapkan bagi kegunaan harian atau aktiviti lasak.
Didatangkan dengan tiga pilihan warna – Tundra Grey, Polar White dan Lime Green – sudah pasti ia melengkapkan lagi keindahan jentera ini.

Kuasa CFMOTO 250 Dual disalurkan menerusi sistem pacuan rantai, klac manual jenis basah berbilang plat, memberi kawalan tepat serta pertukaran gear lebih lancar.
Bagi tujuan kestabilan jentera pula, CFMOTO 250 Dual dilengkapi fork telescopik jenis terbalik pada bahagian depan dan penyerap hentak belakang pula jenis monoshock.
Sistem suspensi ini menawarkan 160 mm jarak perjalanan hadapan dan 38 mm jarak perjalanan belakang.

Brek motosikal ini menggunakan sistem cakera tunggal di bahagian depan dan belakang, dengan diameter 265 mm dan 220 mm, selain disokong sistem ABS dwi saluran.
Motosikal ini dilengkapi rim jejari (spoke wheel) bersama tayar hadapan saiz 80/100-21 dan tayar belakang 120/80-18, sekaligus memberi cengkaman kukuh.
Rangka motosikal ini diperbuat daripada tiub keluli bagi tujuan ketahanan dan keseimbangan tunggangan.

CFMOTO 250 Dual berdimensi 2,120 mm panjang, 910 mm lebar 1,225 mm tinggi dengan jarak roda 1,415 mm. Ketinggian tempat duduk pula 840 mm dan jarak kelegaan tanah 245 mm untuk meningkatkan keupayaan bagi laluan lasak.
Berat keseluruhan motosikal ini 154 kg memastikan pengendalian lebih tangkas.
Tangki bahan api pula berkapasiti 13 liter dan ia cukup untuk memberi jarak perjalanan memuaskan.

CFMOTO 250 Dual dilengkapi paparan meter digital, lampu depan dan belakang LED, port pengecasan USB Type A serta suis keselamatan tongkat sisi.
Gabungan ciri praktikal, moden dan tidak terlalu kompleks, CFMOTO 250 Dual adalah jentera lengkap bagi peminat motosikal segmen ini.
Setiap pembelian juga didatangkan dengan jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk dua tahun, selain perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO.



























