
Nissan melancarkan kempen kesedaran terhadap teknologi EV dalam kalangan penggemar menerusi kempen ‘Apa-e?’.
Ia juga pencetus kepada ‘sesuatu yang bukan EV, tapi rasa macam EV’ dengan merujuk kepada model baharu yang bakal diperkenalkan mereka.
Menggunakan tagline ‘Apa-e?’ yang ringkas dan menarik perhatian itu, Nissan bakal membawa pemandu kepada pengertian e-POWER, kelebihan sistem, dan kenapa teknologi ni berbeza daripada kereta petrol biasa atau EV penuh.
Ia juga jadi pembuka tirai sebelum ketibaan All-New Nissan Serena e-POWER, model e-POWER kedua Nissan di Malaysia selepas Nissan Kicks e-POWER yang masuk pasaran pada hujung 2024.
Naib Presiden Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Christopher Tan berkata, kempen ‘Apa-e?’ direka khas untuk mencuri perhatian rakyat Malaysia melalui media sosial dan radio dengan pendekatan yang meriangkan, bertenaga dan senang difahami.
Secara ringkas, Nissan menyampaikan mesej bahawa e-POWER adalah teknologi pintar yang mampu milik, jimat minyak, dan menyeronokkan.
Video kempen ‘Apa-e?’ sudah mula ditayangkan pada 7 Januari lalu di platform YouTube, Facebook, X dan TikTok Nissan Malaysia, selain iklan radio di stesen popular seperti ERA, Hitz, Lite, Hot FM dan MY.
Dalam sistem e-POWER, roda depan digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik.
Enjin petrol pula tidak sambung terus ke tayar sebaliknya bertindak menjana elektrik untuk mengecas bateri dan membekalkan kuasa kepada motor apabila perlu.
Sebab tu rasa pemanduan Nissan e-Power lebih senyap, lancar dan menghasilkan tork segera, sama seperti EV.
Bezanya, pengguna tidak perlu risau range anxiety dan tak perlu mencari pengecas. Isi minyak dan jalan seperti biasa.
Antara kelebihan Nissan e-Power ialah penggunaan minyak lebih jimat, pelepasan ekzos lebih rendah, lengkap dengan regenerative braking, dan pemandu boleh memilih pemanduan satu pedal sama seperti EV.
Bagi pengguna yang hendak merasai sendiri pengalaman e-POWER , Nissan menganjurkan sesi pandu uji di bilik pameran terpilih.
Untuk maklumat lanjut pasal All-New Nissan Serena e-POWER, boleh layari laman rasmi Nissan Malaysia atau hubungi 1-800-88-3838.



























