Utama Berita Automotif Dua sahabat maut dirempuh Mercedes

Dua sahabat maut dirempuh Mercedes

71

Dua sahabat maut manakala dua lagi cedera parah selepas sebuah kereta Mercedes merempuh tiga individu yang berada di lokasi kemalangan awal di KM11.9 Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu, mangsa masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 50-an maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Insiden kemalangan itu tular menerusi beberapa video di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian bermula apabila sebuah Honda HR-V dipandu lelaki bersama penumpang wanita melanggar bahagian belakang sebuah Proton Suprima di lorong paling kanan yang dipandu seorang wanita berusia 20-an.

Menurutnya, ketiga-tiga individu berkenaan kemudiannya keluar dari kenderaan masing-masing dan berada di antara dua buah kereta tersebut.

“Bagaimanapun, sebuah Mercedes dipandu lelaki berusia 31 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh Proton Suprima serta ketiga-tiga individu berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, pemandu dan penumpang Honda HR-V maut di tempat kejadian manakala pemandu Proton Suprima serta pemandu Mercedes mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ramsay, sampel darah dan air kencing pemandu Mercedes diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat Penyiasat, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak berada di atas jalan, terutamanya di lorong paling laju atau mencari tempat yang selamat untuk berhenti jika berlaku kemalangan di lebuhraya atau jalan-jalan utama,” tegasnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here