Morbidelli F352 2026, kuasa 41.5 hp, 155 km/j – RM25 ribu di Eropah

7

Pada November lalu Mforce memperkenalkan motosikal naked Morbidelli F252 pada harga yang menarik iaitu RM14,888.

Morbidelli sebenarnya mempunyai sebuah lagi model untuk mereka yang mahukan kuasa lebih tinggi iaitu F352 yang dilancarkan secara rasmi di EICMA 2025.

Memiliki sesaran lebih 250cc bermakna anda memerlukan lesen B. 

Model tahun 2026 ini mensasarkan penunggang yang ingin naik kelas daripada motosikal permulaan kepada jentera yang lebih berprestasi, responsif dan sarat teknologi.

Enjin L-Twin 

F352 dibekalkan enjin L-twin 349.2 cc (konfigurasi 90°) dengan sistem DOHC 8-injap dan penyejukan cecair.

Enjin ini menghasilkan 41.5 hp pada 10,500 rpm serta 31.5Nm tork pada 8,500 rpm.

Untuk perbandingan, F252 menghasilkan 31.5 hp pada 11,000 rpm dan 21Nm pada 9,500 rpm.

Sistem suntikan bahan api elektronik digabungkan dengan transmisi 6-kelajuan dan slipper clutch, memastikan penghantaran kuasa yang lancar tetapi tetap agresif ketika dipecut.

Morbidelli memaklumkan kelajuan maksimum motosikal ini mencecah 155 kilometer sejam (km/j).

Rangka & Suspensi 

F352 menggunakan rangka perimeter yang menekankan keseimbangan antara ketangkasan dan kestabilan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork terbalik 41 mm di hadapan dengan jarak gerak 120 mm.

Bahagian belakang menggunakan penyerap hentak tunggal jenis Pro-link dengan pelarasan prabeban serta jarak gerak 122 mm.

Gabungan ini direka untuk mengekalkan kawalan tepat sama ada ketika tunggangan harian mahupun tunggangan agresif.

Rim aloi 17 inci dipadankan dengan tayar Maxxis bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

Dengan berat (kerb) hanya 175 kg, F352 kekal lincah dan mudah dikawal di jalan bandar mahupun laluan berliku.

Brek & Elektronik Lengkap

Aspek keselamatan dan kawalan diperkukuh melalui sistem brek cakera hadapan 300 mm jenis terapung dengan angkup 4-omboh, serta cakera belakang 240 mm.

Kedua-duanya menggunakan ABS dua saluran Bosch.

Morbidelli F352 turut dilengkapi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan tiga mod tunggangan:

  • Standard: Tetapan seimbang untuk kegunaan harian dengan ABS dan TCS aktif
  • Sport: Tindak balas pendikit lebih agresif dengan TCS dinyahaktifkan
  • Expert: Untuk penunggang berpengalaman, TCS dan ABS belakang dinyahaktifkan bagi kawalan maksimum

Ketersambungan & Ciri Premium

F352 dilengkapi skrin TFT berwarna penuh 5 inci dengan sambungan Bluetooth, dan fungsi navigasi mirroring dan integrasi aplikasi Morbidelli Connect (T-BOX).

Sistem ini menawarkan fungsi SOS, amaran anti-kecurian serta kemas kini masa nyata.

Kelengkapan lain termasuk pencahayaan LED penuh, suis bercahaya, soket USB-C, serta tangki bahan api berkapasiti 15 liter, melengkapkan karakter ‘pejuang bandar’ atau streetfighter moden yang praktikal dan berteknologi tinggi.

Harga Eropah

Di Eropah Morbidelli F352 ditawarkan pada harga €5,190 (RM24,780) termasuk VAT.

Spesifikasi Utama Morbidelli F352 

  • Enjin: 349.2cc, L-twin 2-silinder, 4-lejang, DOHC 8-injap, penyejukan cecair
  • Kuasa maksimum: 41.5 hp @ 10,500 rpm
  • Tork maksimum: 31.5Nm @ 8,500 rpm
  • Transmisi: 6-kelajuan, slipper clutch
  • Rangka: Perimeter
  • Suspensi hadapan: Fork terbalik 41 mm, jarak gerak 120 mm
  • Suspensi belakang: Pro-link penyerap hentak tunggak, prabeban boleh laras, jarak gerak 122 mm
  • Brek hadapan: Cakera 300 mm, angkup 4-omboh, ABS Bosch
  • Brek belakang: Cakera 240 mm, ABS Bosch
  • Tayar hadapan: 110/70-17 Maxxis
  • Tayar belakang: 150/60-17 Maxxis
  • Berat (kerb): 175 kg
  • Kapasiti tangki: 15 liter
  • Skrin: TFT berwarna 5 inci dengan Bluetooth & Morbidelli Connect
  • Pencahayaan: LED penuh
  • Kelajuan maksimum: 155 km/j

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here