
Peminat skuter 125cc di Malaysia kini mempunyai pilihan baharu yang lebih segar dan mampu milik menerusi pelancaran Morbidelli Vizy125 oleh MForce Bike Holdings pada acara Bike Motor Show (2026), di MAEPS, Serdang.
Morbidelli Vizy125 tampil dengan reka bentuk moden yang dijual pada harga cadangan kompetitif iaitu RM4,988.
Vizy125 dikuasakan oleh unit janakuasa 123.6cc, silinder tunggal, 4-lejang, 2-injap SOHC penyejukkan udara berkuasa 7.0 kW @ 8,000 rpm dan tork 9.5 Nm @ 6,000 rpm. Ideal untuk tunggangan dalam bandar, ia dipadankan dengan transmisi automatik V-Belt CVT.
Gandingan sistem suntikan bahan api (EFI) memastikan tunggangan yang lebih lancar dan jimat. Meskipun ditawarkan pada harga di bawah RM5,000, Vizy125 didatangkan dengan ciri peralatan standard seperti brek cakera bersaiz 220mm 2-piston di depan dan brek dram (130mm) di belakang.
Keselesaan tunggangan diserahkan kepada fork teleskopik di hadapan dan suspensi monoshock di belakang bersama saiz tayar masing-masing 80/90-R14 dan 90/90-R14.
Dengan berat kering hanya 103 kg, Vizy125 amat mudah dikendalikan oleh sesiapa sahaja, termasuk penunggang wanita ditambah dengan ketinggian pelana 750mm serta saiz tangki minyak 4.5 liter.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan paparan meter LCD moden untuk memudahkan pemantauan maklumat kenderaan.
Morbidelli Vizy125 hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Bulk Black, Stun Red, dan Dash Yellow.





























