
GIVI Malaysia rasmi memperkenalkan tiga koleksi terbaharu ke pasaran tempatan pada acara Malaysia Bike Show (2026) di MAEPS, Serdang yang berlangsung 29 Mei hingga 1 Jun ini.
Berikut tiga koleksi terbaharu helmet GIVI yang akan mula berada di pasaran bermula Julai dan harga jualan yang ditawarkan :
- M33.1 ARIA NEO : RM195
- M35.1 SCUDO II : RM370 (warna Solid), RM420.00 (grafik)
- 52.0 muka penuh : RM350 (warna solid), RM400.00 (grafik)
Pengenalan ketiga-tiga helmet itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh GIVI dalam perlindungan penunggang yang menggabungkan keselamatan berteknologi tinggi, keselesaan jangka panjang, reka bentuk moden, dan fungsi praktikal dalam satu pakej yang lengkap.
M33.1 ARIA NEO & M35.1 SCUDO II
Keluaran terbaharu M33.1 ARIA NEO dan M35.1 SCUDO II hadir dengan penambahbaikan menyeluruh yang merangkumi ergonomik, keselesaan, dan prestasi harian yang dipertingkatkan.
Mengekalkan kod homologasi keselamatan ECE R22.06, setiap aspek reka bentuk kedua-dua model ini telah melalui proses penghalusan teknikal untuk memastikan pengalaman tunggangan yang lebih responsif dan selesa.
Berikut naik taraf yang ditawarkan :
- Didatangkan dengan visor panjang dengan liputan hadapan yang lebih luas untuk perlindungan optimum daripada angin dan habuk.
- Kemas kini spoiler belakang bagi kestabilan yang lebih baik pada kelajuan tinggi.
- Sistem pengudaraan ditingkatkan bagi aliran udara yang lancar dan konsisten walaupun dalam kesesakan lalu lintas.
- Naik taraf bahagian lapisan dalam.
Model M33.1 ARIA NEO direka dan dihasilkan sepenuhnya di Malaysia untuk tunggangan harian tanpa mengorbankan keselesaan yang mana ia berasa ringan di kepala.
Tersedia dengan saiz S hingga XL ia memiliki sistem visor tunggal yang mudah dan praktikal, memastikan penglihatan yang jelas untuk perjalanan ulang-alik harian.
M33.1 ARIA NEO didatangkan dengan warna Solid Metallic Silver, Solid Dark Grey, dan Solid Black.
Sementara, model GIVI M35.1 SCUDO II pula sesuai untuk pelbagai mod perjalanan dari ulang-alik harian hinggalah touring hujung minggu.
M35.1 SCUDO II didatangkan dengan sistem dua visor bagi membolehkan pelarasan penglihatan yang pantas mengikut keadaan cahaya dan persekitaran serta keselesaan dan keselamatan dalam satu sentuhan.
Ia ditawarkan dalam saiz S hingga 2XL dengan dua saiz cengkerang iaitu kecil (S/M/L) serta besar (XL/2XL) bersama enam pilihan warna.
HELMET MUKA PENUH 52.0
GIVI 52.0 dilengkapi dengan kod homologasi keselamatan ECE R22.06 (Full-face P) iaitu pensijilan paling komprehensif dalam kategori topi keledar muka penuh.
Sistem dua visor menggabungkan visor luar anti-calar untuk perlindungan optimum dan pelindung matahari bersepadu di bahagian dalam yang boleh diturunkan seperti cermin mata hitam ditambah dengan ciri keselamatan Pinlock.
Bagi pengudaran yang lebih baik, GIVI 52.0 didatangkan dengan sistem pengudaraan tiga arah merangkumi bahagian atas, belakang dan dagu.
Manakala bahagian dalam dan pad pipi pula dilengkapi dengan ciri anti-alahan yang boleh ditanggalkan memastikan kebersihan dan kesegaran topi keledar sepanjang pengembaraan.
Sementara, pelindung nafas dan deflector angin yang boleh ditanggalkan memberikan kestabilan dan perlindungan tambahan ketika perjalanan yang jauh dan cuaca yang tidak menentu.
Eksklusif di Malaysia Bike Show 2026, GIVI Malaysia menawarkan hadiah istinewa bagi 300 pembeli terawal yang membuat pra tempahan ketiga-tiga model baharu berkenaan melibatkan :
- M33.1 ARIA NEO JET & 52.0 Full Face Helmet : GIVI STF500S Stainless Steel Thermal Flask
- M35.1 SCUDO II JET : T-Shirt Edisi Terhad Scudo (Terhad kepada 3,000 helai sahaja di Malaysia)
































