
Salah satu perkara yang mampu membuatkan golongan bapa pening kepala ialah memilih topi keledar yang bertepatan dengan saiz kepala anak.
Salah beli, anak mungkin akan memakai topi keledar yang terlalu besar saiznya.
Penyelesaiannya kini diperkenalkan oleh Tucano Urbano menerusi produk topi keledar motosikal gaya jet El’Kid yang direka khas untuk kanak-kanak.
Menariknya, produk ini boleh ‘berubah’ mengikut kadar tumbesaran anak-anak.
Rahsianya? Pelapik yang digunakan pada bahagian dalam topi keledar, di mana El’Kid menawarkan tiga saiz span yang berbeza mengikut saiz kepala kanak-kanak.
Dengan cara ini, ia membolehkan topi keledar tersebut ‘mengikut’ kadar tumbesaran si pemakai.
Cangkerang luar topi keledar ini hanya ditawarkan dalam satu saiz dan diperbuat daripada bahan thermoplastic polycarbonate.
Topi keledar ini turut dilengkapi dengan sistem quick-release mikrometrik, serta liang udara untuk tujuan penyejukan.
Yang paling penting, ia mematuhi piawaian pensijilan ECE 22.06.
Terdapat tiga warna ditawarkan iaitu Gloss White, Matte Light Blue dan Glossy Pink, setiap satu berharga sekitar €69.99 (RM325).







