Gracshaw lancar topi keledar edisi Jepun, ada enam rekaan harga bermula RM420

908

Gracshaw, jenama topi keledar motosikal buatan Malaysia yang diedarkan oleh Double Site Marketing Sdn Bhd, secara rasmi melancarkan topi keledar Edisi Jepun. 

Topi keledar edisi berinspirasi Jepun ini terdiri daripada enam reka bentuk yang unik membabitkan: Kurita, Tsuru, Japop, Tengu, Oda dan Karasu.

Ia sebelum ini dipersembahkan buat pertama kali di Terengganu Bike Week 2023 baru-baru ini dan menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada peminat motosikal.



Gracshaw Edisi Jepun disediakan sebagai topi keledar muka terbuka dwi visor model Gracshaw Gennex.

Harga runcit yang disyorkan ialah RM420 dan setiap topi keledar dibekalkan dengan beg galas eksklusif untuk perlindungan serta mudah dibawa.

Reka bentuk Topi Keledar Gracshaw Edisi Jepun dihasilkan berdasarkan keperluan penunggang yang gemar menonjolkan ciri dan gaya individu mereka sendiri semasa menunggang. 

Reka bentuk memberi tumpuan pada tiga elemen utama – pernyataan gaya, ekspresi individu dan lanjutan kepada personaliti. 

Enam reka bentuk yang muktamad, masing-masing menampilkan elemen Jepun yang menarik, boleh dikategorikan kepada tiga tema utama, iaitu; cerita rakyat yang menarik, budaya pop yang menguja dan catatan sejarah.

Kurita mendapat ilham reka bentuk daripada hikayat dongeng Jepun yang popular dan menonjolkan sotong gergasi. Satu raksasa laut yang dihantar untuk mendapatkan semula permata suci yang dicuri dari Istana Raja Naga oleh penyelam mutiara, Puteri Tamatori. Elemen reka bentuk lain termasuk pedang katana, mutiara, ombak dan bunga.

Tsuru menampilkan burung jenjang bermahkota merah, yang merupakan antara burung yang paling jarang ditemui di dunia.  Ramai yang menganggap burung ini sebagai simbol tuah, umur panjang dan kesetiaan. Di Jepun, burung jenjang ini dikenali sebagai tanchōzuru dan dikatakan hidup sehingga 1,000 tahun. Burung jenjang dikatakan memberi pertolongan sebagai balasan atas pengorbanan, seperti dalam Tsuru no Ongaeshi (burung jenjang membalas budi).

Japop: Mereka yang membesar dengan seni popular Jepun akan mendapati reka bentuk Japop yang diinspirasikan oleh anime dan manga sebagai sesuatu yang menarik. Gabungan unsur-unsur tradisional yang menarik seperti ikan dan haiwan dengan dinosaur dan watak manga popular Astro Boy pasti menjadikan reka bentuk ini sebagai tajuk perbualan.

Tengu: Bagi mereka yang memilih tema yang lebih misteri, Gracshaw menawarkan reka bentuk Tengu. Watak utama ialah Tengu, makhluk sakti nakal daripada cerita rakyat Jepun yang dikatakan memiliki kuasa mengawal angin yang hebat.  Dengan muka merah, hidung panjang, jubah dan sayapnya, tengu tidak boleh diusik kerana dia boleh menyebabkan huru-hara.

Oda: Reka bentuk ini memberi pengiktirafan kepada Nobunaga Oda, hulubalang Jepun yang berani semasa zaman Sengoku. Sebagai ketua puak Oda yang berkuasa, dia berperang dengan ketua-ketua feudal lain dan berjaya menyatukan Jepun pada tahun 1560an. Pertempuran Okehazama dianggap sebagai salah satu peristiwa paling penting dalam sejarah Jepun dengan Oda mengalahkan tentera yang berjumlah 10 kali ganda berbanding pasukannya sendiri. Elemen reka bentuk utama termasuk Oda yang memegang katana memakai topeng yang menakutkan, dengan bayangnya yang menaiki kuda berlatarbelakangkan matahari terbit dan pokok bakung.

Karasu: Reka bentuk ini menampilkan senjata yang digunakan oleh ninja seperti shuriken, kunai dan kusarigama. Ninja tersohor, Hattori Hanzo yang berkhidmat dengan puak Tokugawa dengan cemerlang, mendapat pujian kerana menyelamatkan nyawa Tokugawa Ieyasu, seorang shogun yang kemudiannya memerintah seluruh Jepun. Hanzo mengetuai pasukan pahlawan ninja perkasa seramai 200 orang dan dikatakan  memiliki pelbagai kebolehan ghaib yang membuatnya tidak dapat dikalahkan.

Sementara itu, Bahagian Pemasaran, Double Site Marketing, Farizan bin Md Akir berkata, edisi Jepun itu direka bentuk di Pulau Pinang dan dibuat di Jitra, Kedah untuk menjadikan topi keledar ini produk Malaysia sepenuhnya.

Menurutnya, ia adalah rangkaian topi keledar paling unik dan menarik daripada Gracshaw yang mengambil masa hampir lapan bulan untuk membangunkannya daripada peringkat konsep hinggalah kepada pengeluaran. 

“Kami di Gracshaw memahami kepentingan memakai topi keledar yang baik dan sesuai untuk individu setiap kali keluar bermotosikal. 

“Sesetengah orang mungkin berkata bahawa topi keledar hanyalah sebagai ‘keperluan undang-undang’, namun bagi kami topi keledar adalah lebih daripada itu,” katanya.

Topi keledar Gracshaw Edisi Jepun boleh dibeli secara dalam talian melalui https://shop.gracshaw.com, Kedai Rasmi Gracshaw di Shopee https://shopee.com.my/gracshaw.os dan melalui laman Facebook https://www.facebook.com/gracshaw.

Untuk maklumat lanjut tentang portfolio lengkap produk dan senarai pengedar Gracshaw, sila layari www.gracshaw.com. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here