Ingin miliki kereta mewah, mangsa sindiket kereta import media sosial meningkat

534

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan peningkatan kes penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian melibatkan rekod kes 818 sehingga Mei 2023 dengan kerugian RM9.7 juta.

Modus operandi yang dijalankan sindiket adalah menawarkan kenderaan import terpakai kononnya dari negara jiran pada harga lebih murah berbanding pasaran di media sosial.

Gambar hiasan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, taktik tersebut digunakan sindiket penipuan penjualan kenderaan secara dalam talian untuk memperdaya mangsa yang mengimpikan memiliki kereta mewah.



Tahun lalu, sebanyak 1,336 kes direkodkan dengan kerugian lebih RM18,884,583, manakala 309 kes membawa kerugian lebih RM4,431,409 pada tahun sebelumnya.

“Berdasarkan siasatan, modus operandi yang sering digunakan adalah mengiklankan kenderaan import terpakai yang kononnya dari Singapura, Thailand, Jepun dan sebagainya di medium media sosial.

“Harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding pasaran semasa. Mangsa berminat dengan tawaran itu kemudian akan diminta memasukkan wang ke akaun keldai konon untuk pembayaran wang proses, cukai jalan, geran, kastam dan sebagainya,” katanya.

Selepas wang dimasukkan, kenderaan dijanjikan tidak diterima mangsa. Sehubungan itu, Ramli menasihati masyarakat supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat pembelian seperti menyemak harga jualan semasa kenderaan terpakai di pasaran.

“Selain itu, pembeli juga boleh hadir secara fizikal ke syarikat jualan kenderaan terpakai untuk melihat sendiri kenderaan yang dijual serta berbincang dengan ejen jualan sah.

“Jangan mudah percaya dengan iklan jualan kenderaan terpakai yang menawarkan harga terlalu murah atau istimewa atas alasan pengecualian cukai kastam, kereta rampasan dan sebagainya yang tidak dapat dipastikan kesahihan,” katanya.

Beliau juga menyarankan pembeli agar memastikan urusan perjanjian jual beli melalui kaedah yang diperakui supaya tidak menjadi mangsa.

Tambahnya, pembeli juga boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon terlebih dahulu di portal semakmule untuk mengenal pasti akaun terbabit penipuan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here