Utama Berita Automotif Honda CBR500R Four (2027) akhirnya diperkenalkan di Eropah, kuasa empat silinder sebaris...

Honda CBR500R Four (2027) akhirnya diperkenalkan di Eropah, kuasa empat silinder sebaris 71 hp

4

Inilah dia jentera empat dapur terbaharu daripada Honda, iaitu CBR500R Four (2027) yang dilancarkan untuk pasaran Eropah. 

Model ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Ignition Red (Tricolour) dan Mat Ballistic Black Metallic. 

CBR500R Four ini dibangunkan sebagai model serba baharu yang menggunakan enjin empat silinder sebaris berkapasiti 500cc.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 71 hp pada 11,000 rpm serta tork puncak 47.4 Nm pada 9,750 rpm.

Untuk pasaran Eropah, ia juga ditawarkan dalam versi 46.9 hp yang lebih mesra pemegang lesen A2. 

Enjin baharu ini dibangunkan berasaskan konsep yang diperkenalkan menerusi CBR400R Four, model yang cukup popular di Jepun selama hampir tiga dekad.

Salah satu perubahan utama adalah penggunaan lapisan nikel-silikon karbida secara terus pada dinding silinder di dalam blok enjin. Menurut Honda, teknologi ini menghapuskan keperluan penggunaan sleeve silinder konvensional.

Selain membantu mengurangkan berat, ia juga dikatakan mengurangkan geseran dalaman enjin. Honda turut menggunakan salutan Diamond-Like Carbon (DLC) pada komponen valve lifter bagi meningkatkan kecekapan operasi dan ketahanan.

Dari segi elektronik, CBR500R Four hadir dengan tiga mod tunggangan pra-tetapan:

  • Standard
  • Sport
  • Urban

Selain itu, terdapat dua mod yang boleh disesuaikan pengguna, membolehkan pelarasan terhadap:

  • Kuasa enjin
  • Kadar brek enjin
  • Kawalan tork (traction control)

Menariknya, motosikal ini dibekalkan dengan sistem Honda E-Clutch sebagai kelengkapan standard, dan buat masa ini tiada pilihan ditawarkan untuk membelinya tanpa sistem tersebut di Eropah.

Casis diamond CBR500R Four jenis tiub keluli baharu itu digandingkan dengan fork hadapan jenis terbalik (USD) KYB 41 mm diikuti dengan sistem Pro-Link yang menawarkan larasan lima tahap. 

Bagi mengekalkan karakter sportbike, Honda turut melengkapkannya dengan hendal jenis clip-on.

Brek pula terdiri daripada angkup berkembar dua omboh Nissin dan rotor berkembar 296 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor tunggal 240 mm di belakang dipadankan dengan sistem ABS dua-saluran secara standard.

Sementara itu, rim aluminium tuang bersaiz 17 inci dibalut dengan tayar Pirelli Diablo Rosso IV.

Honda mendakwa berat keseluruhan motosikal ini adalah 189 kg, manakala ketinggian tempat duduk berada pada paras 780 mm, menjadikannya lebih mudah dikendalikan oleh pelbagai saiz penunggang.

Antara kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk:

  • Sistem lampu LED penuh
  • Paparan TFT berwarna 5 inci
  • Sambungan Bluetooth
  • Port pengecas USB-C

Di United Kingdom, Honda CBR500R Four 2027 disenaraikan pada harga £6,999 (sekitar RM39,000). 

Bagaimanapun, Honda masih belum mengumumkan sebarang perancangan untuk membawa model ini ke pasaran lain di luar Eropah ketika ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here