Utama Berita Automotif Honda CB500 Super Four, CBR500R Four (2026) lancar di China, harga dari...

Honda CB500 Super Four, CBR500R Four (2026) lancar di China, harga dari RM25k

6

Biarpun tahun 2026 baru sahaja mencecah bulan yang keempat, Honda dilihat sibuk memperkenal dan melancarkan barisan model baharu. 

Terkini, Honda mengumumkan ketibaan model kembar tidak seiras Honda CB500 Super Four dan CBR500R Four untuk pasaran China. 

Kedua-dua model ini telah diperlihatkan pada acara pameran CIMA tahun lalu, dan berkongsi spesifikasi yang hampir sama termasuklah enjin, kerangka, suspensi, brek dan dimensi. 

Enjin empat silinder sebaris 502 cc itu berupaya menjana kuasa 71 hp pada 11,000 rpm dan 47 Nm pada 10,000 rpm. 

Kelajuan maksimum dicatatkan sekitar 180 km/j untuk model CB500 Super Four dan 209 km/j untuk model CBR500R Four. 

Kerangka keluli tubular pada kedua-dua jentera ini disokong oleh suspensi fork KYB di depan dan Pro-Link di belakang (dengan larasan pra-beban) serta lengan ayun aluminium. 

Selain itu, CB500R Super Four dan CBR500R Four turut dilengkapi skrin paparan TFT lima inci yang menyokong aplikasi peranti pintar RoadSync Honda. 

Perbezaan yang ketara sudah pasti dari segi penampilan. 

Honda CB500 Super Four membawakan imej yang diilhamkan daripada model empat silinder CB yang terdahulu, hon berkembar diikuti tangki keluli 14.4 liter yang dihiasi grafik sporti seakan model CB1000F. 

Sementara CBR500R Four pula mendapat unit lampu utama tunggal yang lebih ringkas namun hadir dengan DRL yang tajam, diikuti tangki bahan api yang lebih kecil kapasitinya (14 liter). 

Di pasaran China, Honda CB500 Super Four dijual pada harga RMB42,980 (RM25,084) sementara CB500R Four pula berharga RMB44,980 (RM26,252). 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here