
Salah satu ‘kewajipan’ yang anda perlu lunaskan sebagai seorang pemilik Porsche 911 GT3 ialah belajar cara untuk mengawal kuasa kuda yang dihamburkan oleh jentera tersebut.
Porsche kini menawarkan peluang untuk anda belajar mengawal jentera peribadi dengan kos sekitar US$1,500 (RM6,126) sahaja.
Jika anda berkemampuan untuk membeli sebuah jentera GT3 sekitar US$240,000 (RM980 ribu), nilai US$1,500 itu dilihat jauh lebih rendah dan lebih berbaloi sebenarnya.
Program Porsche Track Experience ini akan bermula tahun 2027 dengan kursus drift khas menggunakan 911 GT3 untuk sesi separuh hari.
Untuk mereka yang mahukan pengalaman lebih mendalam, Porsche turut memperkenalkan program GT3 selama tiga hari pada harga AS$23,000 (sekitar RM93,932).
Kedua-dua program baharu ini hanya ditawarkan di Barber Motorsports Park, Birmingham, Alabama.
Program ini mencipta sejarah baharu untuk Porsche Track Experience kerana buat pertama kalinya keseluruhan latihan pemanduan didedikasikan kepada satu model sahaja, iaitu Porsche 911 GT3.
Pilihan yang lebih mampu disertai ialah kursus GT Drift, yang bermula dengan sesi teori ringkas mengenai dinamik kenderaan sebelum peserta dibawa ke litar skid pad.
Antara modul yang ditawarkan termasuk:
- Teknik trail braking
- Latihan putaran kenderaan (rotation exercises)
- Latihan drift khusus
Porsche percaya perkembangan kemahiran secara berperingkat amat penting kerana mencetuskan gelinciran dan mengawal kenderaan ketika tergelincir adalah dua perkara yang berbeza.
Satu lagi penambahan utama bagi tahun 2027 ialah Masters GT, program eksklusif yang hanya dibuka kepada graduan kursus Masters RS Porsche.
Ini bermakna peserta baharu tidak boleh terus mendaftar walaupun sanggup membayar yuran tertinggi.
Hari pertama program berlangsung di Barber Proving Grounds dengan fokus kepada kawalan kenderaan tahap lanjutan.
Bagi dua hari berikutnya, peserta akan beraksi di litar sebenar dengan sesi pemanduan (open lapping) yang diselang-selikan bersama analisis terperinci data pemanduan.
Menurut Porsche, peserta bakal menikmati lebih banyak masa di litar, bimbingan secara individu, analisis prestasi yang lebih mendalam serta latihan sepenuhnya menggunakan 911 GT3.
Pendekatan ini direka untuk membantu pemandu mencapai tahap prestasi yang konsisten hampir ke had maksimum kemampuan mereka.
Tidak hairanlah Porsche menggelarkan Masters GT sebagai tahap latihan tertinggi dalam program Porsche Track Experience.
Antara program lain yang ditawarkan termasuklah
- Precision (1-hari): US$2,500 di Barber atau US$3,600 di Laguna Seca
- Performance (2-hari): US$5,000/US$6,700
- Masters (3-hari): US$6,600/US$9,200
- Masters RS: US$10,600/US$14,300































