Utama Berita Automotif OMODA X Concept – Baharu dari China dengan reka bentuk SUV, fesyen...

OMODA X Concept – Baharu dari China dengan reka bentuk SUV, fesyen dan teknologi digabungkan!

4

OMODA memperkenalkan OMODA X Concept pada acara OMODA&JAECOO International User Summit di China pada 20 Oktober 2026.

OMODA X Concept meneroka tiga ciri utama sebuah SUV, iaitu penampilan yang tegap, ruang untuk penumpang dan barangan serta keupayaan dalam pelbagai keadaan.

SUV ini membawa gabungan reka bentuk, teknologi dan gaya peribadi dengan mengambil kira keperluan penggunaan harian di bandar serta perjalanan hujung minggu.

Reka Bentuk Cyber Mecha

Bahagian luaran OMODA X Concept menggunakan permukaan bersudut tajam yang mengembangkan bahasa reka bentuk Cyber Mecha pada OMODA 4.

Model OMODA 4 dijadualkan memasuki pasaran UK pada 2027. Sebagai rujukan, model ini sudah pun diperkenalkan di Indonesia pada Ogos lalu.

OMODA X Concept dipertontonkan dalam warna perak dan hijau, masing-masing dipadankan dengan bumbung hitam.

Badan yang lebih lebar, bahagian bahu yang menonjol dan garis pinggang yang lebih ramping memberikan identiti tersendiri kepada model konsep ini.

Elemen pencahayaan turut menghubungkan konsep ini dengan model OMODA sedia ada.

Lampu nyalaan siang LED berbentuk kepala anak panah mencerminkan reka bentuk lampu belakang OMODA 5.

Lampu belakang mengambil inspirasi daripada bentuk kilat seperti pada OMODA 7 dan OMODA 4.

Kabin Dengan Teknologi Pintar

Kabin OMODA X Concept menampilkan papan pemuka dua sayap dan konsol tengah terapung berbentuk X.

Susun atur ini menggabungkan paparan meter digital 10.25 inci dengan skrin sentuh tengah 13.2 inci.

Walaupun mengutamakan teknologi digital, butang fizikal masih disediakan untuk fungsi yang kerap digunakan seperti penyaman udara dan mod pemanduan.

Sistem Super Intelligent Space dengan pembantu suara direka untuk memahami pertuturan semula jadi, bukan sekadar arahan yang telah ditetapkan.

SUV ini turut dilengkapi tetapan pemanduan X-MODE yang boleh disuaikan untuk pemandu melaraskan tetapan dan tindak balas kenderaan mengikut pilihan.

Karaoke dan Penglihatan Malam

OMODA X Concept turut meneroka penggunaan teknologi untuk pengalaman dalam kabin.

Sistem mikrofon dengan empat zon tangkapan suara bebas membolehkan penumpang menyanyi karaoke tanpa menggunakan mikrofon pegang tangan.

Satu lagi ciri ialah sistem penglihatan malam menggunakan pengimejan terma inframerah.

Sistem ini mampu mengenal pasti potensi bahaya sehingga 90 meter di hadapan, sekali gus membantu pemandu ketika perjalanan pada waktu malam.

Ruang Simpanan dan Keupayaan SUV

Dari segi praktikaliti, OMODA X Concept mempunyai jarak kelegaan tanah 200 mm dan kapasiti beban bumbung 75 kg.

Sejumlah 39 ruang penyimpanan turut disediakan untuk membawa pelbagai barangan dan kelengkapan.

Sebagai sebuah SUV, model ini juga dirancang dengan keupayaan menunda yang lebih tinggi, dengan kapasiti sasaran sehingga 1,800 kg.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here