
Detik cemas seorang nelayan asal Indonesia yang terombang-ambing di laut selama enam hari tanpa makan dan minum berakhir dengan keajaiban selepas ditemui selamat oleh pasukan pemancing Malaysia di perairan Pulau Aur, Johor.
Warga emas berusia 61 tahun itu ditemukan dalam keadaan lemah serta pucat dan hanya berpaut pada unjam demi keselamatan.
“Alhamdulillah, mangsa berjaya ditemukan oleh pasukan bot memancing Gelora Sport Fishing yang dikendalikan oleh Tekong Along Muhammad Iskandar.
“Mangsa diberikan bantuan awal berupa minuman dan makanan sementara menunggu tindakan pihak berkuasa,” tulis kapsyen video akaun TikTok CikMie berkenaan.
Tekong Along terus berkongsi koordinat kedudukan mangsa kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi membolehkan proses penyelamatan secara rasmi dijalankan.
Menurut Tribun News, Bachtiar berasal dari Genting Pulur, Daerah Kepulauan Anambas dilaporkan hilang sejak 10 Oktober lalu selepas bot pompong miliknya mengalami kerosakan serta kehabisan bahan bakar dan bekalan.
Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan berkoordinasi secara pantas bersama pihak Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru dan Pejabat SAR Natuna bagi proses pemulangan mangsa pada Ahad lalu.
Pemulangan warga emas itu dijalankan di perairan sempadan Indonesia-Malaysia yang telah disepakati kedua negara.
Lokasi tersebut berada pada koordinat 02°54.411’N 104°51.233’E, atau sekitar 51 batu laut dari Pelabuhan Letung, daerah Jemaja, Kepulauan Anambal.
Sementara itu, Himpunan Nelayan Seluruh Indonesia (HNSI) turut berperanan dalam proses pemulangan dengan membawa perahu milik Bachtiar dari perairan perbatasan menuju Pulau Jemaja.
ARTIKEL BERKAITAN
Tiga bulan hanyut di lautan pasifik bersama anjing, Tim ditemui anak kapal pukat tuna





























