
Usaha mencari Dawellies Luing, 46, yang dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi Sungai Sengayan, Long Jekitan, Baram pada malam Ahad lalu masih belum membuahkan hasil.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata operasi yang memasuki hari ketiga berdepan cabaran termasuk keadaan sungai berbatu serta jeram berbahaya selain cuaca hujan menyebabkan paras air meningkat.
“Operasi pada Khamis bermula pada jam 9.30 pagi menggunakan kaedah pencarian permukaan di sepanjang laluan sungai dari muara Sungai Sengayan sejauh 21km ke hilir Sungai Silat dan Batang Baram.
“Namun, sehingga kini mangsa masih belum ditemukan,” katanya.
Operasi tersebut ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung semula hari ini.
Mangsa yang merupakan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Jekitan dilaporkan berada dalam kenderaan pacuan empat roda bersama isterinya, Litun Ajip, anak perempuan mereka Vallerie Mentie, 9, dan seorang pemandu, ketika cuba menyeberangi sungai tersebut sebelum dihanyutkan.
Litun dan pemandu berkenaan berjaya menyelamatkan diri namun Vallerie ditemukan lemas kira-kira 2km dari lokasi kejadian oleh penduduk kampung pada Isnin.
Jasad kanak-kanak itu dibawa ke kediaman keluarga mereka di Long Tikan sebelum dikebumikan pada Rabu.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan empat anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), guru- guru dari SK Long Jekitan serta penduduk kampung.