Utama Berita Automotif Dua cedera dirempuh Myvi terbabas dalam restoran

Dua cedera dirempuh Myvi terbabas dalam restoran

19

Sebuah Perodua Myvi merempuh restoran makanan Cina sehingga mengakibat dua lelaki cedera di Taman Kota Jaya, di Taiping pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 7km dari balai dan tiba pada jam 10.15 pagi.

“Sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 69 tahun dipercayai terbabas masuk ke sebuah restoran makanan Cina.

“Kejadian itu menyebabkan dua lelaki berusia lingkungan 50-an yang berada di dalam restoran berkenaan mengalami kecederaan,” katanya. 

Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dikeluarkan orang awam dari bawah kenderaan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki dan tangan sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun beliau berkata, pemandu kenderaan tersebut dilaporkan selamat.

Operasi melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bermotor Bomba (RIM) berjaya dikawal pada jam 10.20 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here