
Audi Sport memperkenalkan model edisi khas Audi RS 3 competition limited yang dibangunkan bagi meraikan ulang tahun ke 50 enjin lima silinder Audi yang ikonik.
Model ini dikeluarkan sebanyak 750 unit sahaja untuk pasaran global termasuk 11 untuk pasaran United Kingdom.
Sejarah enjin lima silinder bermula pada tahun 1976 melalui model Audi 100 generasi 2 dan kini mencapai kemuncak prestasi melalui varian RS 3 edisi terhad ini.
Rangkaian Kuasa
Jantung utama jentera ini adalah enjin 2.5 liter lima silinder sebaris TFSI yang merupakan satu-satunya enjin seumpamanya dalam segmen kereta kompak berprestasi.
Enjin ini menghasilkan kuasa sebanyak 400 ps dan tork setinggi 500 Nm.
Dengan keupayaan tersebut, ia mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat dan mencapai kelajuan tertinggi sehingga 290 km/j.
Keistimewaan utama enjin ini terletak pada bunyi throaty yang terhasil daripada turutan pembakaran 1-2-4-5-3.
Sistem ekzos sport RS dengan kawalan flap berubah sepenuhnya membolehkan bunyi enjin didengari dengan lebih jelas oleh penumpang kerana pengurangan bahan penebat pada bahagian firewall.
Sistem Suspensi dan Dinamik Pemanduan
Buat pertama kali, Audi RS 3 dilengkapi sistem penyerap hentak boleh laras yang dibangunkan khas.
Suspensi ini dipadankan dengan penstabil belakang baharu yang lebih tegar.
Penyerap hentak dua sisi dibuat daripada keluli tahan karat di bahagian depan dan aluminium di bahagian belakang untuk meningkatkan kekakuan serta membantu penyejukan cecair hidraulik.
Pemandu mempunyai fleksibiliti untuk melaras tahap mampatan rendah (low-speed compression) sebanyak 12 tahap dan 15 tahap untuk mampatan tinggi (high-speed compression).
Selain itu, tahap lantulan (rebound) juga boleh diubah dalam 16 tahap untuk memberikan maklum balas pemanduan yang sangat tepat atau perjalanan yang lebih selesa.
Kestabilan bahagian belakang turut dipertingkatkan dengan kadar spring yang dinaikkan kepada 80 N/mm.
Rekaan Luaran dan Aerodinamik
Penampilan luaran RS 3 competition limited dibezakan dengan penggunaan elemen karbon kusam pada segenap badan kereta.
Ini termasuk canard baharu pada bahagian depan yang disusun secara bertingkat serta bibir depan jenis terpisah yang menjadikan kereta kelihatan lebih lebar.
Setiap unit di UK akan didatangkan dengan warna khas Malachite green yang diinspirasikan daripada Audi Sport quattro zaman rali.
Rim bersaiz 19 inci dengan rekaan 10 jejari silang dalam kemasan Neodymium gold matte melengkapkan ruang arca roda.
Lampu hadapan matrix LED yang digelapkan pula memaparkan corak nyalaan 1-2-4-5-3 semasa kunci dibuka atau ditutup sebagai simbolik kepada enjin.
Ruang Dalaman dan Eksklusiviti
Bahagian kabin menampilkan gabungan warna hitam, Neodymium gold dan Ginger white.
Pemandu dan penumpang disediajab kerusi sport bucket RS yang dibalut kulit hitam dengan bahagian tengah menggunakan mikrofiber Dinamica berwarna Neodymium gold.
Pada bahagian konsol tengah, terdapat nombor siri turutan bagi melambangkan bilangan unit terhad model ini.
Paparan instrumen Audi virtual cockpit plus juga hadir dengan reka bentuk eksklusif berlatar belakang putih, mengimbas kembali rekaan pada Audi RS2 Avant tahun 1994.
Skrin sesentuh 10.1 inci pula memaparkan parameter prestasi penting seperti suhu minyak enjin, tork serta tekanan dan suhu tayar.
Harga dan Ketersediaan
Di pasaran UK, Audi RS 3 Sportback competition limited ditawarkan pada harga bermula £92,855 atau kira-kira RM490,367.
Harga ini termasuk pakej lengkap elemen karbon, brek seramik dengan angkup merah, sistem ekzos sport RS, kawalan suhu tiga zon dan kerusi dengan fungsi pemanas.
Penghantaran pertama untuk UK dijangka bermula pada suku keempat tahun 2026.
Spesifikasi Utama Audi RS 3 Sportback competition limited
- Enjin: 2.5 liter lima silinder TFSI
- Kuasa Maksimum: 400 ps
- Tork Maksimum: 500 Nm
- Pecutan 0 ke 100 km/j: 3.8 saat
- Kelajuan Tertinggi: 290 km/j
- Suspensi: Penyerap hentak boleh laras penuh
- Brek: Karbon seramik dengan angkup merah
- Rim: 19 inci kemasan Neodymium gold matte
- Unit Pengeluaran: 750 unit seluruh dunia (11 unit UK)
- Harga: £92,855 (RM490,367)
- Jangkaan Penghantaran: Suku ke-4 tahun 2026





































