Utama Berita Automotif Malaysia tidak perlu langkah drastik hadapi kenaikan harga minyak

Malaysia tidak perlu langkah drastik hadapi kenaikan harga minyak

8

Ketegangan geopolitik di Selat Hormuz yang menjejaskan laluan hampir satu perlima perdagangan minyak dunia memberi tekanan kepada harga minyak global, sekali gus meningkatkan kos subsidi bahan api yang perlu ditanggung kerajaan.

Pensyarah Kanan School of Management and Business, MILA University, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, kemampuan Malaysia mengekalkan harga petrol bersubsidi pada paras RM1.99 seliter tidak semata-mata bergantung kepada harga minyak mentah semasa.

“Gangguan bekalan minyak biasanya akan mendorong kenaikan harga minyak mentah antarabangsa dan secara langsung menambah tekanan kepada kos subsidi kerajaan bagi mengekalkan harga petrol pada paras RM1.99 seliter.

“Namun dari sudut ekonomi, kemampuan Malaysia mengekalkan harga ini tidak hanya bergantung kepada harga minyak semasa, tetapi juga kepada kedudukan fiskal kerajaan serta mekanisme pengurusan subsidi,” katanya kepada Harian Metro. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jangkaan tempoh Malaysia mampu mengekalkan harga petrol RM1.99 seliter susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa harga itu hanya mampu bertahan sekitar dua bulan sekiranya gangguan bekalan di Selat Hormuz berterusan.

Menurutnya, dalam tempoh dua bulan itu boleh dianggap sebagai anggaran berhati-hati, namun ia tidak semestinya bermaksud harga petrol akan berubah secara mendadak selepas tempoh itu.

Katanya, jika kenaikan harga minyak dunia hanya bersifat sementara, Malaysia masih mempunyai ruang untuk mengekalkan harga petrol pada paras semasa dalam jangka pendek.

“Hal ini kerana Malaysia juga mempunyai sumber hasil daripada sektor petroleum yang boleh membantu mengimbangi tekanan kos subsidi bahan api,” katanya.

Mengulas langkah beberapa negara yang sudah mula mengambil tindakan berdepan kenaikan harga minyak global, beliau berkata Malaysia tidak perlu mengambil pendekatan drastik seperti menutup institusi pendidikan.

Sebaliknya, pendekatan lebih realistik ialah memperkukuh pengurusan subsidi, menggalakkan penjimatan tenaga serta memantau rapat pergerakan harga minyak global bagi memastikan kestabilan ekonomi domestik terus terpelihara.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here