
Baru-baru ini Mforce Bike Holdings Sdn Bhd mengumumkan pelantikan mereka sebagai pengedar eksklusif jenama motosikal ZXMOTO untuk pasaran Malaysia.
Kerjasama strategik berkenaan dimulakan pada Oktober 2025 selepas kunjungan pengasas ZXMOTO, Zhang Xue ke kilang pemasangan motosikal Mforce yang terletak di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad mengesahkan bahawa pengenalan rasmi jenama ini akan dilakukan pada penghujung Mei 2026.
Antara model yang paling dinantikan dan dijangka menjadi tumpuan utama ialah jentera sport bike empat silinder, ZXMOTO 500RR.
Jaminan Harga Bawah RM30 Ribu!
Salah satu perkara paling menarik mengenai kemasukan model ini adalah bayangan harga yang diberikan oleh pihak pengurusan.
Melalui satu rakaman video MforceTV, Asri Ahmad memberi jaminan bahawa harga jualan ZXMOTO 500RR tidak akan melebihi RM30,000.
Penetapan harga tersebut dibuat berdasarkan penanda aras QJMotor SRK450RR yang dijual pada harga sekitar RM26,000.
Dengan jaminan harga di bawah RM30,000, jentera ini dijangka bakal memberikan persaingan sengit dalam segmen motosikal berprestasi tinggi kelas pertengahan di Malaysia.
Ujian Ketahanan dan Kejayaan di Litar Dunia
Sebelum pelancaran rasmi, Mforce telah menerima tiga unit motosikal ZXMOTO sejak Januari 2026 untuk menjalani ujian ketahanan di litar dan jalan raya tempatan.
Ujian ini bertujuan memastikan setiap model memenuhi piawaian prestasi serta kesesuaian dengan keadaan iklim dan permukaan jalan di Malaysia.
Kredibiliti jenama ini turut diperkukuh dengan pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa.
ZXMOTO meraih kemenangan berganda dalam kelas WorldSSP di pusingan Portugal Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) pada 28 hingga 29 Mac 2026 yang lalu.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan teknikal jentera mereka dalam persada antarabangsa.
Tampil di CIMAMotor 2024
ZXMOTO 500RR pertama kali diperkenalkan semasa acara CIMAMotor pada September 2024. Sebagai model sulung jenama tersebut, ia mendapat sambutan luar biasa di negara asalnya.
Pada Mac 2025, pelancaran rasmi telah diadakan di Litar Tianfu di mana 100 unit pertama diserahkan kepada pemilik.
Menjelang Jun 2025, model ini berjaya menerajui pasaran sport bike empat silinder di China dengan jualan sebanyak 2,141 unit dalam tempoh sebulan.
Pencapaian ini diteruskan pada Julai 2025 apabila unit ke-10,000 ZXMOTO 500RR secara rasmi keluar dari barisan pemasangan kilang mereka.
Enjin 470cc 4 Silinder 84 ps
ZXMOTO 500RR dikuasakan enjin 470cc empat silinder sebaris, DOHC, 16 injap dengan penyejukan cecair.
Enjin ini mempunyai nisbah mampatan 12.9:1 dan mampu menghasilkan kuasa maksimum 84ps pada 13,500rpm serta tork maksimum 46Nm pada 11,500rpm.
Sistem hantaran bahan api menggunakan BOSCH EFI dan dipadankan dengan klac jenis wet multi-plate slipper untuk pertukaran gear yang lebih lancar.
Jentera ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 235 km/j dengan prestasi pecutan 0 ke 100 km/j dalam masa 3.4 saat sahaja.
Casis dan Kawalan Pemanduan
Jentera ini dibina menggunakan kerangka Integrated Steel Trellis Diamond Frame yang dipadankan dengan lengan ayun satu sisi diperbuat daripada aloi aluminium.
Sistem suspensi hadapan menggunakan jenis terbalik (inverted) bersaiz 41mm yang boleh dilaras sepenuhnya untuk prabeban dan redaman.
Dari segi keselamatan, ia dilengkapi sistem brek TAISKO dengan angkup empat omboh bertentangan dan dua cakera terapung 300mm di bahagian hadapan.
Sistem Cornering ABS dengan bantuan 6-axis IMU turut disertakan untuk kestabilan semasa tunggangan agresif.
Spesifikasi ZXMOTO 500RR (China)
- Enjin: 470cc, 4-silinder sebaris, DOHC, 16-injap, penyejukan cecair
- Kuasa Maksimum: 84ps @ 13,500rpm
- Tork Maksimum: 46Nm @ 11,500rpm
- Gerek x Lejang: 59 mm x 43 mm
- Nisbah Mampatan: 12.9:1
- Sistem Bahan Api: BOSCH EFI
- Klac: Wet multi-plate slipper clutch
- Rangka: Integrated Steel Trellis Diamond Frame
- Panjang x Lebar x Tinggi: 2,005 mm x 705 mm x 1,125 mm
- Jarak Roda: 1,395 mm
- Ketinggian Pelana: 800 mm
- Lengan Ayun: Satu sisi (aloi aluminium)
- Suspensi Hadapan: Terbalik 41 mm, pelarasan penuh prabeban dan redaman
- Tayar: CST S5 (120/70 ZR17 Depan | 180/55 ZR17 Belakang)
- Rim: Aloi aluminium tuang (MT3.517 Depan | MT5.517 Belakang)
- Brek Hadapan: Dua cakera terapung 300 mm, kaliper 4-omboh (TAISKO)
- Brek Belakang: Cakera tunggal 220 mm, kaliper 2-omboh (TAISKO)
- Kapasiti Tangki: 15 Liter
- Berat: 168kg
- Berat Bersih: 158kg
Kredit gambar: ZXMOTO





































