
Mforce Bike Holdings Sdn Bhd mengumumkan pelantikan rasmi sebagai pengedar eksklusif bagi jenama motosikal ZXMOTO di pasaran Malaysia.
Kerjasama strategik berkenaan dimulakan pada Oktober 2025 selepas kunjungan pengasas ZXMOTO, Zhang Xue ke kilang pemasangan motosikal Mforce yang terletak di Pulau Pinang.
Lawatan tersebut menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta meneroka potensi kerjasama dalam memperkukuhkan kehadiran jenama ZXMOTO di rantau ini.
Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad berkata pengenalan rasmi jenama ZXMOTO akan diadakan pada 29 Mei pada acara Malaysia Bike Show (2026).

“Peminat ZXMOTO di Malaysia bakal berpeluang menyaksikan beberapa model terkini yang akan dipamerkan, termasuk model-model berprestasi tinggi.
“Lebih istimewa, pengunjung juga berpeluang melihat model motosikal yang telah mencipta kejayaan dengan meraih dua kemenangan (double victory) dalam kelas WorldSSP di pusingan Portugal Kejuaraan Dunia Superbike
(WSBK) pada 28 hingga 29 Mac 2026, yang merupakan sebahagian daripada FIM Supersport World Championship,” jelasnya.
Tambah beliau, pengunjung juga berpeluang untuk bertemu secara langsung dengan pengasas ZXMOTO, Zhang Xue, yang dijangka akan hadir memeriahkan acara tersebut.

Kerjasama berkenaan bakal membuka peluang baharu dalam menawarkan produk berkualiti tinggi kepada pengguna tempatan, di samping mengukuhkan lagi kedudukan Mforce sebagai pemain utama dalam industri pengedaran dan
pemasangan motosikal di Malaysia.
Sejak Januari 2026, Mforce telah menerima tiga model motosikal ZXMOTO untuk menjalani ujian ketahanan di Malaysia.
Ujian ini bertujuan memastikan setiap model memenuhi piawaian prestasi, ketahanan serta kesesuaian dengan keadaan jalan raya dan iklim tempatan sebelum diperkenalkan secara rasmi kepada pengguna Malaysia.






























