
Dua kapal milik Malaysia kini dalam perjalanan pulang ke tanah air manakala lima lagi masih berada di Selat Hormuz, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata perkembangan tersebut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada waktu ini, dimaklumkan terdapat dua kapal yang dalam perjalanan… satu dijangka tiba pada 17 April manakala satu lagi mungkin minggu yang berikutnya… terdapat lima kapal yang masih lagi berada di Selat Hormuz,” katanya dalam taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet, pada Rabu.
Selat Hormuz ialah antara laluan perkapalan paling penting dunia khususnya bagi penghantaran minyak mentah global, dan sebarang gangguan di kawasan itu boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan serta harga tenaga.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata krisis tenaga global termasuk pendirian Malaysia mengenai konflik Asia Barat akan dibangkitkan ketika lawatan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese ke Malaysia.
“Saya percaya Perdana Menteri akan bangkitkan pendirian Malaysia mengenai isu konflik di Asia Barat dan sudah pasti isu mengenai keadaan sekatan yang berlaku di Selat Hormuz itu akan dibincangkan… pada waktu ini, sekurang-kurangnya ada dua perjanjian persefahaman (MoU) yang akan dimeterai,” katanya.
Albanese dijadual melawat Malaysia bermula hari ini hingga 17 April, yang menjadi antara usaha negara untuk menguruskan risiko keselamatan tenaga dalam tempoh ketidaktentuan global yang berterusan, termasuk konflik di Asia Barat dan gangguan yang menjejaskan penghantaran melalui Selat Hormuz.
Kenyataan Wisma Putra memaklumkan melalui kerjasama yang erat dengan Australia, Malaysia sedang berusaha untuk memastikan akses berterusan ke atas sumber kritikal, terutama gas asli cecair (LNG), yang diperlukan bagi penjanaan elektrik dan aktiviti perindustrian.
































