
Harga runcit RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 25 sen seliter bagi tempoh 10 hingga 16 September.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan menjelaskan harga minyak mentah dunia meningkat ketara sepanjang tempoh pengiraan harga formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
“Ia susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali meruncing serta peningkatan risiko gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.
“Harga minyak mentah Brent meningkat sepanjang tempoh pengiraan APM sebelum mencecah USD97.31 setong pada Isnin. Premium risiko geopolitik terhadap bekalan minyak dunia turut meningkat susulan serangan berbalas yang berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran,” jelasnya.
Tambahnya, gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat serta serangan berbalas terhadap loji penapisan Rusia telah mengurangkan bekalan petrol, diesel dan produk petroleum lain ke pasaran antarabangsa.
Harga diesel di pasaran antarabangsa turut meningkat lebih pantas berbanding minyak mentah berikutan kekangan kapasiti penapisan dan inventori yang semakin menyusut.
“Selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal.
“Sekiranya keadaan ini berpanjangan, inventori yang semakin menyusut serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat boleh meningkatkan risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia,” ujarnya.
Berikut harga runcit petroleum bagi tempoh 10 hingga 16 September :
- Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 25 sen kepada RM4.50 seliter
- Harga runcit petrol RON95 naik sebanyak 25 sen kepada RM4.02 seliter
- Harga runcit diesel naik sebanyak 25 sen kepada RM4.92 seliter
- Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter
- Harga runcit diesel diesel bersubsidi (BUDI Diesel) kekal pada RM2.10 seliter
Menerusi harga semasa Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.03 seliter, bersamaan 50 peratus daripada harga petrol RON95 tanpa subsidi manakala bagi diesel 57 peratus daripada harga tanpa subsidi.
































