
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warganegara Myanmar selepas didapati memandu secara berterusan di lorong kanan di KM 174.9, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), pada Selasa.
Hasil pemeriksaan dalam Ops PeWA itu mendapati pemandu melakukan kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL).
Susulan itu, tindakan sita terhadap kenderaan telah dilaksanakan di bawah Seksyen 64(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang.
“JPJ Negeri Melaka memandang serius perbuatan memandu kenderaan perdagangan tanpa lesen yang sah dan lesen vokasional kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke semasa termasuk di lebuh raya dan laluan utama bagi memastikan setiap pemandu serta pengendali kenderaan perdagangan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan.




