
Harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan kepada 25 sen manakala diesel turun kepada 75 sen bagi tempoh 16 April hingga 22 April 2026, susulan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Manakala harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.
Menurut kenyataan, berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism, harga runcit produk petroleum adalah seperti berikut:
- Harga runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 25 sen kepada RM5.10 seliter
- Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi diturunkan sebanyak 25 sen kepada RM4.02 seliter
- Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter
- Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 75 sen kepada RM5.97 seliter
- Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter
Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global terhadap rakyat serta memastikan kelangsungan pengeluaran makanan dan rantaian bekalan, Kerajaan meningkatkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel kepada RM400 sebulan bagi April 2026 untuk 350,000 penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dengan tambahan dana RM35 juta sebulan.
Ini merupakan kali kedua bantuan tersebut dinaikkan susulan tekanan pasaran petroleum global, selepas peningkatan daripada RM200 kepada RM300 pada Mac 2026.
“Secara keseluruhan, Kerajaan dianggarkan akan menanggung sekitar RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa. Subsidi RON95 meningkat daripada sekitar RM300 juta sebelum konflik kepada sekitar RM4 bilion sebulan, manakala subsidi diesel melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada sekitar RM3 bilion sebulan.
“Kerajaan MADANI akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil dan mencukupi, di samping terus memperkukuh perlindungan kepada rakyat,” menurut kenyataan.
































