
Jensen Interceptor bakal dilahirkan semula sebagai sebuah Grand Tourer (GT) dengan enjin V8, tepat 50 tahun selepas produksi model asal yang ikonik itu berakhir.
Syarikat Banbury, Jensen International Automotive (JIA), mengesahkan model baharu itu akan diberikan nama Interceptor GTX.
Untuk info, ini merupakan model pertama JIA yang dibangunkan dari kertas kosong setelah bertahun-tahun dikenali sebagai pakar restorasi dan restomod Interceptor.
GT Ultra mewah berprestasi tinggi ini dijangka hadir dengan nadi V8 yang diperoleh daripada Chevrolet Corvette, dengan kuasa yang mungkin melebihi angka 495 hp sedia ada.
Selain itu, jentera ini akan dibina menggunakan casis aluminium ringan, dan masih menawarkan pengalaman pemanduan serba analog.
Walaupun reka bentuk sepenuhnya belum didedahkan, gambar teaser rasmi menunjukkan ia mengekalkan falsafah Interceptor klasik — bonet panjang, bumbung condong, dan posisi badan rendah.
Jensen Interceptor yang dihasilkan oleh Jensen Motors diproduksikan antara tahun 1966 hingga 1976, dengan angka pengeluaran melebihi 6,400 unit.
Ia menggunakan nadi V8 Chrysler 6.3L menghasilkan kuasa 335 hp, diikuti enjin 7,200 cc menghasilkan output 305 hp atau 330 hp.































