
Mercedes-Benz secara rasmi memperkenalkan S-Class baharu yang juga ulang tahun ke 140 penciptaan automotif oleh Carl Benz pada tahun 1886.
Evolusi terbaharu ini merupakan kemas kini paling ekstensif dalam sejarah satu generasi S-Class.
Sebanyak lebih 50 peratus atau sekitar 2,700 komponen adalah baru atau direka semula sepenuhnya.
Rangkaian Kuasa Elektrifikasi dan V8!
S-Class menawarkan rangkaian enjin elektrifikasi yang terdiri daripada unit lapan silinder, enam silinder petrol, diesel dan hibrid plug-in.
Semua enjin disertakan dengan penjana penghidup bersepadu (ISG) 17 kW (23 hp) dan sistem elektrik 48 volt untuk kecekapan penggunaan bahan api dan kelancaran fungsi mula-henti.
Varian lapan silinder dalam Mercedes-Benz S 580 4MATIC Saloon versi panjang menggunakan enjin M 177 Evo V8 yang menghasilkan 395 kW (537 hp) dan tork 750Nm.
Enjin ini menerima naik taraf kejuruteraan pada sistem suntikan, liang pengambilan dan ekzos, serta aci sesondol untuk tindak balas yang lebih pantas dan cekap.
Bagi enjin enam silinder petrol M 256 Evo pada model S 450 4MATIC dan S 500 4MATIC versi panjang, tork telah ditingkatkan sehingga 600Nm, malah mencecah 640Nm melalui fungsi overtorque untuk pecutan lebih dinamik.
Penambahbaikan utama melibatkan pemampat tambahan elektrik (electric auxiliary compressor) yang lebih berkuasa serta penebat bunyi yang lebih baik.
Pilihan hibrid plug-in pada model S 580 e 4MATIC dan S 450 e Saloon menawarkan jarak gerak elektrik sekitar 100 km.
Gandingan enjin enam silinder dengan motor elektrik berkuasa meningkatkan output sistem sebanyak 55 kW (75 hp) berbanding generasi terdahulu.
Manakala bagi peminat diesel, model S 350 d 4MATIC dan S 450 d 4MATIC menggunakan enjin enam silinder OM 656 Evo yang dilengkapi pemangkin dipanaskan secara elektrik (electrically heated catalytic converter) untuk rawatan sisa ekzos yang lebih cekap.
Rekaan Luaran Ikonik
Buat pertama kali, S-Class hadir dengan gril bercahaya yang diperbesarkan sekitar 20 peratus dan dihiasi dengan bintang krom tiga dimensi yang direka semula.
Logo bintang Mercedes yang tegak kini ditawarkan dengan pilihan nyalaan lampu, sekali gus menjadi sebahagian daripada identiti cahaya S‑Class pada waktu malam
Sistem DIGITAL LIGHT dua bintang yang baru bukan sahaja memberikan rupa ikonik, malah meningkatkan kejelasan penglihatan pemandu.
Di bahagian belakang, lampu belakang hadir dengan tiga bintang signatur berbingkai krom yang menyerlahkan lagi identiti kenderaan ini.
Selain itu, projektor cahaya pada ambang pintu akan memancarkan tulisan Mercedes-Benz ke permukaan jalan untuk menyambut penumpang setiap kali masuk dan keluar.
Ruang Dalaman dan Keselesaan Kelas Pertama
Kabin S-Class direka untuk memberikan keselesaan mutlak.
MBUX Superscreen menyatukan paparan tengah 14.4 inci dan paparan penumpang 12.3 inci di bawah satu permukaan kaca yang bersambung.
Penumpang hadapan boleh menikmati penstriman video atau permainan melalui fungsi privasi berasaskan kamera yang tidak mengganggu perhatian pemandu.
Bagi penumpang belakang, pilihan empat tempat duduk First-Class menyediakan konsol tengah penuh dengan ruang simpanan, pengecasan USB-C pantas, peti sejuk dan pemegang cawan dengan kawalan suhu.
Dua alat kawalan jauh MBUX yang boleh ditanggalkan membolehkan kawalan sistem penghawa dingin dan hiburan pada skrin 13.1 inci yang turut dilengkapi kamera HD untuk tujuan telesidang.
Di antara inovasi keselesaan lain ialah tali pinggang keledar berpemanas yang mencapai suhu 44 darjah Celsius dan sistem penapis elektrik yang membersihkan udara kabin setiap 90 saat dengan menapis zarah 1,200 kali lebih kecil daripada sebutir garam.
Dinamika Pemanduan dan Keselamatan
Sistem suspensi udara AIRMATIC dan E-ACTIVE BODY CONTROL kini mempunyai ciri redaman pintar yang melaraskan sistem secara elektrik sebelum melalui permukaan jalan yang tidak rata berdasarkan maklumat daripada Mercedes Intelligent Cloud.
Pembelokan gandar belakang tersedia dengan sudut 4.5 darjah secara standard dan pilihan sehingga 10 darjah yang mampu mengurangkan radius pusingan sebanyak hampir 2,000 mm.
Dari aspek keselamatan, S-Class dilengkapi sehingga 15 beg udara termasuk beg udara belakang untuk impak hadapan dan beg udara lutut.
Ciri PRE-SAFE Impulse Side akan menggerakkan penumpang menjauhi zon impak sebelum berlaku perlanggaran sisi.
Bagi versi perlindungan khas, S 680 GUARD 4MATIC dengan enjin V12 biturbo 6.0 liter menawarkan tahap perlindungan VR10 yang merangkumi seluruh bahagian kaca dan badan kereta.
Teknologi Pencahayaan dan Keselamatan Pintar
Sistem DIGITAL LIGHT pada S-Class baharu menggunakan teknologi mikro LED inovatif serta cip berkuasa tinggi yang menambah medan pencahayaan resolusi tinggi sebanyak kira-kira 40 peratus.
Lampu tinggi ULTRA RANGE pula mampu memancarkan cahaya sehingga 600 meter dan kini boleh berpusing untuk memberikan liputan jalan yang lebih luas.
Fungsi lampu tinggi separa pula membantu mengesan pengguna jalan raya lain tanpa menyilaukan mereka.
Sistem ini juga menggunakan data kamera dan peta digital untuk menyesuaikan pencahayaan di selekoh dengan lebih tepat melalui sistem pengendalian MB.OS.
Sistem Pengoperasian MB.OS dan Kecerdasan Buatan
Teras kepada teknologi S-Class adalah Mercedes-Benz Operating System (MB.OS) yang berperanan sebagai superkomputer bagi mengawal sistem bantuan pemanduan, maklumat hibur dan prestasi.
MB.OS membolehkan kemas kini melalui internet (OTA) bagi memastikan kenderaan sentiasa relevan secara digital sepanjang hayatnya.
MBUX generasi keempat kini menyepadukan kecerdasan buatan AI daripada ChatGPT4o, Microsoft Bing dan Google Gemini.
Pembantu Maya MBUX Hey Mercedes kini menjadi teman digital yang lebih mesra dengan keupayaan untuk berbual secara berterusan serta memiliki memori jangka pendek.
Antara muka MBUX Zero Layer memudahkan capaian kepada aplikasi yang kerap digunakan melalui navigasi leret yang intuitif.
Program MANUFAKTUR
Program MANUFAKTUR menawarkan tahap penyesuaian yang sangat luas.
Dua warna baharu kini menjadi standard iaitu MANUFAKTUR black sparkling dengan serpihan kaca asli dan MANUFAKTUR verdesilver magno dengan kemasan kusam.
Melalui program MANUFAKTUR Made to Measure, pelanggan boleh memilih daripada lebih 150 warna cat dan lebih 400 warna ruang dalaman.
Pilihan tambahan termasuk ambang pintu bercahaya, varian stereng dan pakej emblem khas.
Pelanggan juga boleh mendapatkan rundingan peribadi di Center of Excellence di Sindelfingen untuk menyesuaikan tempahan mereka mengikut cita rasa individu.
Ringkasan Ciri-Ciri Mercedes-Benz S-Class 2027
- S 580 4MATIC (V8): 395 kW (537 hp) / 750Nm
- S 500 4MATIC (6-silinder): 330 kW (449 hp) / Tork sehingga 640Nm (overtorque)
- S 450 4MATIC (6-silinder): 300 kW (408 hp) / Tork sehingga 640Nm (overtorque)
- S 580 e 4MATIC (PHEV): 400 kW (544 hp) / 750Nm (Sistem Keseluruhan)
- S 450 e (PHEV): Teknologi EQ Hybrid / Jarak gerak elektrik ~100 km
- Semua Model (Mild Hybrid): Penjana Pemula Bersepadu (ISG) 17 kW (23 hp) / 250Nm tork tambahan
- Jarak gerak elektrik (PHEV): Kira-kira 100 km (WLTP)
- Peningkatan output elektrik PHEV: 55 kW (75 hp) berbanding model terdahulu
- Jangkauan lampu tinggi: Sehingga 600 meter (ULTRA RANGE)
- Radius pusingan: Pengurangan hampir 2,000 mm (dengan stereng gandar belakang 10 darjah)
- Saiz paparan MBUX Superscreen: 14.4 inci (tengah) dan 12.3 inci (penumpang)
- Saiz skrin hiburan belakang: 13.1 inci
- Kuasa pengecasan USB-C: Sehingga 100 W
- Suhu tali pinggang keledar: Sehingga 44 darjah Celsius
- Kekerapan penapisan udara kabin: Setiap 90 saat
- Bilangan beg udara: Sehingga 15 unit
Harga:
Harga bagi pasaran Eropah bermula daripada 121,356.20 Euro (kira-kira RM570,188.47) untuk model S 350 d 4MATIC, termasuk kadar VAT sebanyak 19 peratus.










































