
BMW mendedahkan konsep terbaharu Vision BMW Alpina bertempat di Concorso d’Eleganza Villa d’Este 2026.
Ia merupakan model kajian rekaan one-off yang menunjukkan hala tuju jenama Alpina di bawah BMW.
Konsep ini dibina berdasarkan tiga tiang utama yang mendefinisikan Alpina sejak dulu, iaitu kelajuan, keselesaan dan keanggunan.
Berbeza dengan jentera BMW M yang lebih pantas di selekoh, Alpina pula merupakan sebuah grand tourer mewah yang pantas tanpa drama.
Ia menampilkan panjang keseluruhan 5,199 mm dengan bumbung coupe yang melengkung panjang, serta postur rendah dan bonet panjang seperti sebuah GT klasik.
Vision BMW Alpina ini turut mengambil inspirasi daripada model terdahulu seperti BMW 507.
Usah tertipu dengan struktur jeriji tertutup gaya hidung jerung, kerana di sebalik komponen tersebut BMW memuatkan nadi 4.4 liter bentangan V8 turbo berkembar yang mungkin akan diolah semula mengikut gaya Alpina.
Ruang kabin juga mengekalkan elemen rekaan yang minimalis dan ringkas, dengan grafik paparan khas Alpina, balutan kulit istimewa dan suis kristal.
Tidak ketinggalan, tempat meletakkan gelas kristal yang akan muncul secara automatik daripada konsol belakang bersama-sama botol minuman kaca.
Jentera ini turut mempunyai mod Comfort+ yang menawarkan tetapan yang lebih lembut dan santai berbanding jentera BMW M yang biasa.
BMW mengesahkan model produksi pertama Alpina ini akan tiba pada tahun depan dan dibina berasaskan model 7 Series.


































