BMW 6-Series GT facelift 2021 – CKD, 258hp, RM418k

1242

BMW Malaysia baru-baru ini memperkenalkan 6-Series Gran Turismo (GT) facelift untuk pasaran Malaysia. Pengenalan itu dibuat serentak dengan 530i dan 530e M Sport.

Untuk 6-Series G32 ini, ia hadir dengan varian tunggal 630i GT M Sport, dengan pemasangan tempatan (CKD) dan dijual pada harga RM417,659.05 tanpa SST. Harganya selepas tamat pengecualian SST nanti adalah RM430,800.00.



Jadi, apa yang baharu? Rupa unik BMW 6-Series GT ini diperbaharui dengan lampu LED direka semula dengan teknologi Laserlight, bampar depan dan belakang baharu, dan ekzos berkembar.

Komponen M Sport pula terdiri dari kit badan, rim aloi 20-inci Star-spoke 817 M, dan angkup brek dicat biru.

Sebagai sebuah Gran Tourer, 6-Series ini dilengkapi spoiler aktif yang akan dinaikkan secara automatik pada kelajuan 120km/j, dan diturunkan semula apa bila kenderaan diperlahankan ke 80km/j.

BMW 630i GT M Sport dikuasakan enjin 2.0-liter empat silinder petrol turbo yang menjana 258hp dan 400Nm tork. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam 6.5 saat, dan mencapai kelajuan maksima 250km/j.

Di bahagian dalam, anda akan mendapat ruang lebih luas berbanding 6-Series biasa dengan tempat duduk lebih tinggi. Ciri di sini terdiri dari balutan kulit Leather Dakota, kemasan kulit berserta trim Pearl Chrome menaikkan rasa mewah.

Di depan pemandu ialah paparan instrumen digital manakala di tengah, terdapat skrin infotainmen yang lebih besar iaitu 12.3-inci berbanding 10.25-inci sebelum ini.

Ciri lain adalah roda stereng M Sport, head-up display, pendingin hawa 4-zon, tirai sisi berkuasa, bumbung kaca panoramik, dan sistem audio premium Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.

BMW 630i GT ini juga dilengkapi teknologi terkini seperti Personal Assistant, Gesture Control, serta ciri-ciri keselamatan yang merangkumi Active Cruise Control, Parking Assistant Plus, Driving Assistant, Live Cockpit Professional, sambungan 4G LTE, dan Remote Software Update.

Empat warna boleh dipilih untuk 6-Series GT ini iaitu Bernina Grey Amber Effect, Mineral White, Carbon Black dan Sophisto Grey Brilliant Effect. Warna-warna ini boleh digandingkan dengan warna kabin Leather Dakota Black atau Leather Dakota Cognac.

Setiap pemilikan akan dilindungi jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, program servis percuma, Roadside Assistance, Accident Hotline, dan Service Online.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here