
BMW mencuri tumpuan di Concorso d’Eleganza Villa d’Este, Lake Como dengan mempamerkan motosikal one-off yang dinamakan sebagai BMW Vision K18.
Sekilas pandang, ia merupakan sebuah motosikal gaya bagger tanpa beg yang lebih menyerupai motosikal kustom futuristik.
Antara perkara yang paling menonjol ialah bahagian belakang yang dikuasai enam muncung ekzos yang memenuhi ruang yang biasanya digunakan untuk meletakkan beg sisi.
Bahagian depan pula menampilkan enam saluran udara yang menyalurkan angin kepada penapis udara besar yang terletak di posisi tangki minyak.
Jentera ini dipacu enjin enam silinder bersesaran 1,800 cc yang jauh lebih besar berbanding enjin K-Series 1,649 cc sedia ada.
Selain itu, ia juga turut dilengkapi suspensi boleh laras yang boleh menaikkan atau menurunkan ketinggian motosikal secara automatik.
Teknologi ini memberikan kelebihan besar dari segi tetapan suspensi tinggi untuk tunggangan agresif, atau kedudukan lebih rendah ketika berhenti atau parkir.
Berbanding R18 yang direka mengikut acuan Amerika, Vision K18 pula merupakan sebuah bagger yang dibentuk mengikut DNA BMW yang sebenar.
Malah, BMW juga sebenarnya sudah pun ada motosikal gaya seakan Vision K18, iaitu K 1600 B.
Tidak mustahil jika Vision K18 ini bakal direalisasikan menjadi model produksi sebenar bagi menggantikan model sedia ada, membawakan bahasa reka bentuk BMW terbaharu dan enjin generasi seterusnya yang lebih bertenaga.


































