
KTM memperkenalkan KTM 1390 Super Duke RR Track 2026 yang merupakan model Super Duke pertama dalam barisan produk jenama itu yang dibina khusus untuk kegunaan litar sahaja.
Jentera ini dibina dengan tangan di ibu pejabat KTM di Mattighofen, Austria dan tidak mempunyai sebarang komponen yang membolehkannya digunakan secara sah di jalan raya.
Ia direka mengikut peraturan perlumbaan FIM yang ketat dengan tahap peralatan serta penyesuaian yang tidak pernah ada pada model pengeluaran KTM sebelum ini.
Reka Bentuk dan Kerangka
KTM 1390 Super Duke RR Track ini menjalani pengurangan berat ketara melalui penggunaan sejumlah bahan gentian karbon.
Semua bahagian serta panel badan yang tidak diperlukan dibuang untuk menghasilkan sebuah jentera hypernaked yang lincah dan mengutamakan prestasi berbanding keselesaan.
Semua titik cagak yang tidak diperlukan pada kerangka dibuang bagi menjimatkan setiap gram yang mungkin.
Hasilnya, rasaksa ini 23 kg lebih ringan berbanding model standard KTM 1390 Super Duke R.
Rangkaian Kuasa dan Ekzos
KTM 1390 Super Duke RR Track dikuasakan enjin LC8 V-twin yang ditala untuk memberikan prestasi serta-merta sebaik pendikit dipulas.
Enjin ini menggunakan skru titanium di seluruh bahagian untuk mengurangkan berat serta meningkatkan nisbah kuasa kepada berat.
Kuasa maksimum yang dihasilkan adalah sebanyak 196 ps pada 10,000 rpm.
Walau bagaimanapun, KTM berjaya mencapai angka sehingga 202 ps dengan bantuan sistem ram-air pada kelajuan 250 km/j.
Tork setinggi 151 Nm memastikan penunggang dapat keluar dari selekoh dengan penuh kawalan walaupun berada pada kedudukan gear yang tidak tepat.
Sistem ini dipadankan dengan rangkaian ekzos penuh Akrapovic Evolution Line daripada titanium serta pemetaan baharu dan penapis udara perlumbaan.
Sistem Suspensi WP PRO COMPONENTS
Bahagian hadapan dilengkapi sepit udang WP APEX PRO yang membawa teknologi MotoGP™ ke jentera pengeluaran.
Ia menggunakan teknologi Closed Cartridge daripada WP Factory Racing yang memberikan redaman lebih konsisten dan ketepatan pada bahagian hadapan.
Sepit udang ini membolehkan penunggang menukar spring dengan cepat tanpa perlu mencabutnya daripada motosikal.
Di bahagian belakang, penyerap hentak WP APEX PRO inline direka untuk memaksimumkan sentuhan permukaan bagi meningkatkan cengkaman dan kestabilan.
Sistem ini mempunyai titik cagak bersepadu untuk potensiometer bagi membolehkan penggunaan telemetri data serta pelarasan suspensi yang lebih canggih.
Rim, Tayar dan Sistem Brek
KTM 1390 Super Duke RR Track menggunakan rim magnesium tempa 7-jejari yang ringan dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada jentera KTM RC16.
Rim ini 1.5 kg lebih ringan berbanding rim tuang pada model standard. Ia dibalut tayar Michelin Power Performance Slicks yang menggunakan teknologi terkini MotoGP™ untuk pemanasan getah yang pantas.
Sistem brek pula mengikut spesifikasi superbike daripada Brembo.
Bahagian hadapan menggunakan silinder utama Corsa Corta yang mengawal angkup empat omboh monoblok Brembo GP4 MS dan dipasang secara radial bersama cakera brek T-Drive bersaiz 320 mm.
Bahagian belakang pula menggunakan angkup tetap dua omboh Brembo P2.34 dengan cakera 240 mm.
Teknologi
Sistem elektronik pada versi Track ini telah dikurangkan secara sengaja supaya penunggang hanya menerima maklumat yang benar-benar diperlukan sahaja.
Paparan maklumat menggunakan skrin TFT warna penuh bersaiz 4.2 inci dengan antaramuka khas dan susun atur boleh ubah.
Skrin ini diperbuat daripada bonded glass dengan salutan khas dan polarisasi untuk mengurangkan silau serta meningkatkan penglihatan dalam semua keadaan cahaya.
Spesifikasi Teknikal KTM 1390 Super Duke RR Track
- Enjin: LC8 1,350cc V-twin
- Kuasa Maksimum: 196 ps@10,000 rpm (202 ps dengan ram-air pada 250 km/j)
- Tork Maksimum: 151 Nm
- Sistem Ekzos: Akrapovic Evolution Line titanium penuh
- Fork Hadapan: WP APEX PRO jenis Closed Cartridge
- Suspensi Belakang: WP APEX PRO inline shock
- Rim: Magnesium tempa 7-jejari
- Saiz Rim Hadapan: 17 inci / 3.5 inci
- Saiz Rim Belakang: 17 inci / 6 inci
- Tayar Hadapan: Michelin Power Performance Slicks 120/70-R17
- Tayar Belakang: Michelin Power Performance Slicks 200/55-R17
- Brek Hadapan: Angkup Brembo GP4 MS empat omboh dengan cakera 320 mm
- Brek Belakang: Angkup Brembo P2.34 dua omboh dengan cakera 240 mm
- Paparan: TFT 4.2 inci warna penuh
- Berat: 23 kg lebih ringan berbanding KTM 1390 Super Duke R





































