Utama Berita Automotif Yamaha Cygnus X 2026 Skuter Sporty, Tak Sampai RM10 Ribu di Jepun!

Yamaha Cygnus X 2026 Skuter Sporty, Tak Sampai RM10 Ribu di Jepun!

6

Yamaha memperkenalkan skuter 125cc baharu untuk pasaran Jepun iaitu Yamaha Cygnus X 2026. Trend skuter kecil sekarang ialah reka bentuk yang sporti dan agresif dan Cygnus berada dalam kelompok tersebut dengan gaya funky.

Model ini membawa konsep keseimbangan antara keseronokan memandu dan prestasi alam sekitar.

Dibangunkan sebagai sebuah model sporti yang sofistikated, Cygnus X direka untuk memberikan kawalan mengikut kehendak penunggang bagi pengangkutan di bandar.

Reka Bentuk Luaran Sporti dan Kompak

Cygnus X 2026 tampil dengan badan yang lebih ramping serta penggunaan lampu hadapan jenis projektor LED bersaiz kecil baharu.

Reka bentuk sisi hadapan menampilkan corak sayap jentera perlumbaan bagi menekankan imej kelajuan.

Bahagian penutup bawah hadapan dan pelindung ekzos diberikan tekstur menyerupai gentian karbon tempaan untuk perincian yang lebih premium.

Sistem pencahayaan lengkap dengan unit LED pada lampu posisi, lampu isyarat serta lampu belakang yang disusun secara menegak memberikan identiti dinamik.

Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Biru yang membawa imej sporti, Putih dengan kontras putih dan komponen hitam, serta Kelabu Gelap Kusam yang menampilkan gabungan rona hitam pekat.

Rangka Baharu dan Kedudukan Tunggangan

Motosikal ini menggunakan rangka baharu yang meningkatkan ketegaran menegak sebanyak kira-kira 19 peratus berbanding model Cygnus Gryphus.

Ketebalan tiub sisi kanan juga telah ditingkatkan daripada 2.0 mm kepada 2.3 mm untuk mengoptimumkan imbangan kekuatan dan keselesaan tunggangan.

Ruang lantai telah diperluaskan untuk lebih ruang kepada kaki dan lutut penunggang. Bentuk hadapan pelana juga dioptimumkan bagi memudahkan kaki mencecah tanah.

Selain itu, tapak pelana dan bahan kusyen diubah semula untuk mengurangkan keletihan.

Bagi keselesaan pembonceng, kedudukan tempat letak kaki dianjakkan 59 mm ke belakang berbanding model sebelum ini.

Enjin 124cc 12 ps

Cygnus X dikuasakan enjin Blue Core 124 cc sejukan cecair dipekemaskan daripada Cygnus Gryphus.

Enjin ini menghasilkan kuasa 12 ps dan tork maksimum 11 Nm.

Penyelarasan pada sistem CVT dilakukan melalui pengurangan berat dan pelarasan beban spring untuk pecutan yang lebih baik.

Sistem ekzos pula menggunakan paip hujung berdiameter lebih besar bagi menghasilkan bunyi yang lebih dalam pada kelajuan rendah dan frekuensi rendah yang mantap pada kelajuan tinggi.

Bagi perjalanan lebih jauh, skuter ini dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 6.1 liter dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 41.9 km/L mengikut mod WMTC.

Prestasi Pemanduan dan Kawalan

Antara ciri elektronik utama Cygnus X ialah Traction Control System (TCS) untuk pemanduan di permukaan jalan licin seperti jalan basah, lumpur atau batu kerikil.

Selain itu, sistem Smart Motor Generator (SMG) digunakan untuk penghidupan enjin yang lebih senyap, manakala Variable Valve Actuation (VVA) memastikan penghantaran tork yang cemerlang.

Sistem Brek dan Gantungan

Sistem brek telah dipertingkatkan dengan penggunaan cakera hadapan bersaiz 267 mm dan omboh angkup 27 mm.

Bahagian belakang pula menggunakan cakera bersaiz 230 mm. Gabungan nisbah tuas brek yang dioptimumkan membolehkan kawalan brek yang lebih tepat.

Bagi meningkatkan kelincahan, saiz tayar hadapan ditukar kepada 110/70-12 dengan lebar rim yang dikecilkan kepada 2.5 inci.

Tiub dalam suspensi hadapan dipanjangkan sebanyak 5 mm bagi menyesuaikan dengan tayar hadapan bersaiz 110 mm sambil mengekalkan prestasi penyerapan hentakan.

Suspensi belakang pula mempunyai kadar spring yang lebih lembut sebanyak 12 peratus serta dilengkapi fungsi pelarasan prabeban empat peringkat.

Kelengkapan Praktikal dan Kemudahan

Sebagai sebuah skuter bandar, Cygnus X dilengkapi dengan pelbagai ciri yang praktikal:

  • Meter LCD warna 4.6 inci dengan fungsi malap automatik dan paparan anggaran baki jarak tunggangan.
  • Ruang simpanan bawah pelana berkapasiti 28 liter yang boleh memuatkan topi keledar muka penuh bergantung kepada saiz dan bentuk.
  • Soket pengecas USB Type-C dengan sokongan pengecasan pantas QC3.0 (5V/3A) pada bahagian simpanan hadapan.
  • Ruang barangan kecil di bahagian hadapan yang boleh memuatkan bekas minuman bersaiz 700 ml.

Harga dan Perancangan Jualan

Yamaha Cygnus X 2026 ditawarkan pada harga 389,400 yen (RM9,665). Sasaran jualan tahunan bagi pasaran domestik Jepun adalah sebanyak 4,000 unit.

Motosikal ini dikilang oleh Yamaha Motor Taiwan Co., Ltd. dan diimport oleh Yamaha Motor Co., Ltd. 

Spesifikasi Utama Cygnus X 2026 Jepun

  • Enjin: E35TE 124 cc, silinder tunggal SOHC, 4-injap, penyejuk cecair
  • Kuasa Maksimum: 12 ps@8,000 rpm
  • Tork Maksimum: 11 Nm@6,000 rpm
  • Kapasiti Tangki Bahan Api: 6.1 L 
  • Penggunaan Bahan Api (Mod WMTC): 41.9 km/L
  • Panjang x Lebar x Tinggi: 1,865 mm x 715 mm x 1,125 mm
  • Tinggi Pelana: 785 mm
  • Jarak Roda: 1,340 mm
  • Jarak Kelegaan Bumi Minimum: 125 mm
  • Saiz Tayar Depan: 110/70-12 47L (Tanpa tiub)
  • Saiz Tayar Belakang: 130/70-12 56L (Tanpa tiub)
  • Sistem Brek Depan: Cakera dua sisi hidraulik tunggal
  • Sistem Brek Belakang: Cakera dua sisi hidraulik tunggal
  • Berat: 126 kg

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here